Meninggal Dunia Tanpa Wasiat: Pembahagian Aset Mengikut Faraid


Wasiat adalah sangat penting untuk memastikan pembahagian aset dilakukan sama rata dan adil, tetapi jika tidak sempat untuk membuatkannya, Hukum Faraid akan dipakai bagi pembahagian harta pusaka orang-orang Islam.

Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

Kita memang tidak boleh menjangka bila akan meninggalkan dunia ini untuk selamanya, tetapi kita boleh tentukan apa yang terjadi dengan harta yang ada selepas pemergian kita, dengan membuat wasiat.

Wasiat bukan sahaja digunakan untuk membahagikan harta kepada sesiapa yang anda mahu, tetapi juga untuk memasukkan maklumat penting/peribadi yang mahu dimaklumkan kepada yang terbabit hanya selepas kita meninggal dunia.

Mungkin kita mahu meletakkan nama orang yang kita telah berhutang dan berapa jumlahnya, supaya waris kita boleh membayar semula hutang tersebut walaupun kita sudah tiada.

Wasiat adalah sangat penting untuk memastikan pembahagian aset dilakukan sama rata dan adil, mengikut kemahuan anda, jika anda meninggal dunia.

Selain itu, anda perlu membuat wasiat supaya harta yang ditinggalkan tidak dibekukan kerana sebab-sebab tertentu seperti waris tidak tahu cara, tiada masa atau tiada duit untuk menguruskan pusaka.

Anda juga dapat mengelakkan daripada waris mengambil hak yang tidak sepatutnya, dan bergaduh antara satu sama lain kerana berebut harta pusaka.

Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

Apabila tiada wasiat yang dibuat setelah seseorang itu meninggal, kesemua aset akan dibahagikan berdasarkan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

Mengikut portal rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan, akta ini menerangkan takrif pusaka kecil.

Ia juga menjelaskan bidang kuasa, proses kerja yang bermula dari permohonan pusaka, perbicaraan, pengeluaran perintah, hinggalah proses rayuan ke mahkamah tinggi.

Di samping akta, terdapat peraturan pembahagian pusaka yang menggariskan tatacara pelaksanaan dan pemakaian borang-borang dalam urusan penyelesaian pusaka kecil.

Dalam menentukan pembahagian, Hukum Faraid dipakai bagi harta pusaka orang-orang Islam, manakala Akta Pembahagian 1958 dipakai bagi kematian bukan Islam.

Pembahagian harta tanpa wasiat (Untuk orang-orang Islam)

Katakanlah anda meninggal dunia sebelum sempat membuat wasiat ataupun memang memilih untuk tidak membuat wasiat, apakah yang akan berlaku kepada harta anda?

Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

Jawapannya adalah, semua harta akan diagihkan mengikut Faraid. Tetapi, apakah itu Faraid?

Faraid adalah sebahagian daripada undang-undang Islam yang berkaitan dengan pembahagian aset kepada waris-waris yang sah seseorang yang telah meninggal dunia, berdasarkan hukum agama Islam. Asas hukum Faraid adalah berdasarkan Al-Quran dan Hadith.
Mengikut portal rasmi E-Syariah, harta pusaka (Faraid) terbahagi kepada dua, iaitu:
a) Harta tidak alih seperti tanah dan rumah.
b) Harta alih seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP, Tabung Haji, insuran, Koperasi, kenderaan, barang-barang kemas, dan seumpamanya.
Tetapi, anda semua perlu tahu yang pengagihan Faraid tidah boleh berlaku dengan serta-merta!

Ramai yang sedia maklum bahawa proses pembahagian harta pusaka tanpa wasiat akan mengambil masa yang panjang, dan boleh menjadi sangat rumit jika tidak dimohon dengan betul.

Di bawah adalah senarai tentang apa yang akan terjadi kepada harta anda apabila anda meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, dan apa yang perlu dilakukan oleh waris sah anda.

1) Harta pusaka akan dibekukan


Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

Sejurus selepas anda meninggal dunia, semua harta pusaka akan dibekukan dan tidak boleh diambil atau dituntut oleh sesiapa pun.

Harta tersebut hanya boleh diagihkan apabila kes pembahagian telah diselesaikan.

2) Membuat permohonan Sijil Faraid

Untuk memulakan proses Faraid harta atau memfailkan kes Faraid, waris perlu menghantar borang untuk memohon Sijil Faraid. Antara dokumen-dokumen yang diperlukan oleh waris adalah:

Borang permohonan yang lengkap.
Salinan sijil kematian si mati atau surat akuan.
Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran/surat akuan.
Salinan geran harta/buku akaun/penyata.
Sijil nilaian hartanah (jika ada).
Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30/RM20/RM10).

3) Ikuti setiap proses dengan teliti

Waris perlu memastikan yang semua proses diikuti dan dibuat dengan teliti supaya pengagihan dapat diluluskan dan diuruskan dengan lancar.

Inilah proses-proses yang terlibat dalam permohonan Sijil Faraid:

Menyerahkan permohonan.
Terima permohonan.
Semak.
Jika lengkap, terima dan tandatangan.
Siasatan terhadap waris dijalankan pada hari pendaftaran, atau pada hari lain seperti yang ditetapkan.
Pengiraan akan dilakukan apabila siasatan selesai.
Dapatkan sijil dalam tempoh 5 hari selepas siasatan setiap ahli waris selesai.
Notifikasi akan diberi apabila siasatan telah tamat.
Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

4) Dapatkan persetujuan yang terlibat

Mengikut sistem Faraid, semua ahli waris menurut Al-Quran mesti bersetuju untuk memilih pentadbir yang sama. Perlantikan pentadbir tersebut juga mesti dilakukan secara bertulis.

Siapakah waris menurut Al-Quran dan pentadbir?

Waris menurut Al-Quran adalah waris yang berhak untuk mendapatkan bahagian yang ditetapkan daripada harta si mati seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran.
Pentadbir adalah seseorang yang dilantik untuk mentadbir harta peninggalan si mati seperti waris, bukan waris, institusi pengurusan harta pusaka atau peguam.

Soalan Lazim Tentang Pembahagian Faraid

Berikut adalah antara soalan-soalan popular yang sering menjadi tanda tanya apabila ada keluarga yang mahu membuat urusan Faraid:

1) Bagaimanakah harta si mati dibahagikan mengikut sistem Faraid?
Prosesnya sama sahaja seperti mempunyai wasiat yang sah, tetapi untuk kes Faraid, harta si mati akan dibahagikan mengikut Hukum Syariah.

Keutamaan akan diberikan kepada peruntukan perbelanjaan pengebumian dahulu, dan diikuti dengan bayaran hutang tertunggak termasuk zakat, haji yang tidak lengkap, dan Nazar (janji kepada Allah untuk berbuat sesuatu jika hajat tercapai).

2) Bagaimanakah pula dengan waris di bawah umur 18 tahun atau mereka yang kurang upaya?
Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

Pembahagian akan didepositkan ke dalam Akaun Amanah Raya dan boleh dituntut apabila waris mencapai umur 18 tahun, atau umur yang dipersetujui dalam Surat Ikatan Amanah.

Bagi yang kurang upaya pula, pembahagian akan diberikan kepada penjaga yang dipilih untuk proses penjagaan waris tersebut.

3) Apakah asas yang dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang menerima pusaka atas sebab perkahwinan?
Antara asas-asas yang dipertimbangkan (mengikut portal rasmi E-Syariah) ialah:

Sama ada perkahwinan itu sah atau tidak mengikut Hukum Syarak.
Sama ada kematian berlaku sebelum atau selepas akad nikah.
Adakah pasangan pernah bersama atau tidak?
Adakah harta tersebut milik si mati atau tidak?
Sekiranya bercerai hidup, adakah dalam eddah talak rajie?

4) Apakah status penama terhadap harta si mati?

Seperti yang dinyatakan di dalam portal rasmi E-Syariah, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 1973 telah memberikan pendapatnya dalam Mesyuarat Raja-raja pada 20 September 1973.

Telah dipersetujui bahawa penama-penama KWSP, wang simpanan pejabat pos, bank, insuran, dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi.

Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut faraid.

Pembahagian faraid, Hukum faraid, Faraid harta, Sistem faraid

5) Apa yang akan berlaku jika tiada ahli keluarga yang masih hidup dan tiada yang menuntut harta pusaka si mati?

Di dalam kes tersebut, harta si mati akan diserahkan kepada Baitumal. Ia adalah perbendaharaan atau badan pengurusan harta benda dan sumber kewangan masyarakat Islam.

Pilihan mana yang perlu saya ambil?

Tiada siapa yang boleh mengatakan wasiat itu lebih baik daripada Faraid ataupun sebaliknya.

Namun, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekecohan di masa akan datang, anda dinasihatkan untuk membuat wasiat jika ada peluang.

Lagi satu yang kami ingin ingatkan, wasiat itu bukanlah sesuatu yang dibuat semasa hendak meninggal atau berada di ambang maut, tetapi seeloknya dilakukan semasa tengah sihat dan masih boleh berfikir dengan waras!

Pengurusan harta pusaka dalam Islam

PENGURUSAN harta pusaka dalam kalangan umat Islam merupakan suatu prosedur yang perlu difahami oleh semua pihak, khasnya masyarakat Islam sendiri.

Sering kali kita dengar pertikaian akibat permasalahan harta pusaka hingga membawa kepada konflik perebutan harta, pertikaian yang berlanjutan dan memerlukan penyelesaian mahkamah, permusuhan keluarga malah yang lebih parah sekiranya melibatkan kes jenayah seperti ugutan, ancaman nyawa dan pembunuhan.

Kenapa hal ini terjadi? Jawapan mudah kepada permasalahan ini ialah kerana kurangnya pengetahuan dalam menguruskan harta pusaka dalam kalangan keluarga atau waris yang terlibat. Kesannya, harta pusaka terpaksa dibekukan oleh pihak berwajib. Waris yang ditinggalkan sengsara kerana harta yang ditinggalkan tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup generasi seterusnya.

Harta secara umumnya dikategorikan kepada dua sifat yang berbeza, iaitu harta alih dan harta tak alih. Harta alih ialah seperti kereta, motosikal, basikal, pinggan mangkuk, pakaian, peralatan mekanikal dan sebagainya yang bersifat boleh pindah pergerakannya secara fizikal. Manakala harta tak alih pula ialah aset tetap seperti tanah, bangunan dan harta fizikal yang bersifat kekal dan tidak boleh dipindahkan ke lokasi yang berbeza.

Pengetahuan tentang tertib pengurusan harta pusaka Islam penting bagi memastikan kelangsungan waris yang ditinggalkan dapat meneruskan kehidupan dengan harmoni dan mempunyai saraan ekonomi keluarga yang mencukupi.

Secara umum, harta pusaka bolehlah dinyatakan sebagai harta peninggalan si mati. Harta tersebut perlu diuruskan oleh waris yang masih hidup dengan tertib atau berdasarkan urutan yang sepatutnya. Pengurusan harta pusaka Islam bermula setelah berlakunya kematian dan selesainya proses pengebumian jenazah.

Tertib pertama dalam pengurusan harta pusaka orang Islam ialah dengan melakukan pengasingan terhadap harta yang dimiliki atau yang diuruskan oleh si mati semasa hayatnya. Berkemungkinan tidak kesemua harta yang diuruskan oleh si mati adalah kepunyaan mutlak arwah. Sebaliknya terdapat juga harta yang bukan milik mutlak si mati contohnya seperti harta amanah, harta yang telah dijual, harta wasiat, harta yang telah dihibahkan dan harta yang telah diwakafkan oleh si mati semasa hayatnya.

Tuntut

Tertib kedua dalam menguruskan harta pusaka orang Islam ialah proses melunaskan hutang piutang yang ditinggalkan oleh si mati. Waris terdekat perlu mengambil tanggungjawab dalam mengenal pasti hutang yang telah dibuat oleh si mati semasa hayatnya dan melangsaikan hutang tersebut bagi pihak si mati.

Hutang yang dimaksudkan dibahagikan kepada dua kategori iaitu hutang dunia dan hutang akhirat. Hutang yang melibatkan orang perseorangan, syarikat atau pihak kerajaan dianggap sebagai hutang dunia yang perlu diselesaikan.

Manakala hutang akhirat pula seperti perlaksanaan ibadah haji yang masih belum dilaksanakan oleh si mati semasa hayatnya sedangkan si mati berkemampuan. Pelunasan hutang boleh dibuat dengan menggunakan harta peninggalan si mati.

Tertib ketiga ialah pembahagian harta sepencarian. Harta sepencarian ialah harta yang dimiliki dan diusahakan secara bersama oleh si mati dan pasangan semasa hayatnya. Sekiranya pasangan si mati (sama ada suami atau isteri) tidak bekerja atau tidak mempunyai punca pendapatan yang tetap, pasangan yang hidup juga berhak menuntut harta sepencarian.

Contohnya isteri yang tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa serta tidak mempunyai punca pendapatan sendiri adalah berhak menuntut harta sepencarian yang ditinggalkan oleh pasangannya yang meninggal dunia.

Hal ini kerana, pada hakikatnya isteri sebenarnya merupakan individu yang penting dalam membantu suami meringankan beban pengurusan keluarga demi memastikan arwah suami dapat mencari rezeki yang halal. Oleh itu, isteri yang ditinggalkan juga berhak memiliki harta sepencarian yang diusahakan oleh suami semasa tempoh hayat perkahwinannya berlangsung.

Tertib keempat dalam pengurusan harta pusaka Islam ialah dengan melaksanakan wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hayatnya. Wasiat merupakan pesanan ataupun hasrat si mati yang dibuat semasa hayatnya. Namun begitu perlaksanaan wasiat hanya boleh direalisasikan setelah pewasiat (si mati) meninggal dunia.

Harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh diuruskan secara perlaksanaan wasiat asalkan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta yang ditinggalkan. Wasiat boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak mendapat harta pusaka peninggalannya.

Wasiat perlu dibuat secara bertulis dengan pihak yang menyediakan perkhidmatan wasiat seperti AmanahRaya dan agensi-agensi wasiat yang diiktiraf oleh pihak berkuasa. Wasiat boleh diubah isi kandungannya seberapa mahu yang dikehendaki oleh pewasiat semasa hayatnya. Penulisan wasiat adalah suatu yang digalakkan dalam Islam.

Tertib kelima dan terakhir dalam pengurusan harta pusaka Islam ialah melaksanakan faraid ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati kepada waris yang berhak. Faraid ialah bahagian yang ditetapkan oleh syarak kepada pewaris.

Terdapat pelbagai kategori waris. Antaranya waris utama, waris gantian, waris sisian pertama dan waris sisian kedua. Dalam perbincangan kali ini, cukuplah sekadar pemahaman terhadap waris utama dahulu.

Waris utama yang berhak dalam pembahagian harta faraid terdiri daripada individu yang paling rapat dengan si mati iaitu ayah, ibu, pasangan (suami atau isteri), anak lelaki dan anak perempuan. Namun begitu, terdapat juga hak waris-waris lain yang terlibat sekiranya waris utama telah tiada.

Hak

Setiap daripada waris utama ini mempunyai hak dan kadar masing-masing dalam pembahagian harta faraid. Contoh mudah ialah bapa memperoleh hak sebanyak 1/6 daripada harta faraid tersebut. Ibu berhak sebanyak 1/3 (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/6 (sekiranya si mati mempunyai anak). Manakala pasangannya iaitu suami berhak sebanyak ½ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan ¼ (sekiranya si mati mempunyai anak.

Begitu juga dengan isteri, hak isteri ialah sebanyak ¼ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/8 (sekiranya pasangan mempunyai anak). Manakala hak anak perempuan pula ialah ½ (sekiranya si mati hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja), 2/3 hak (sekiranya si mati ada lebih daripada seorang anak perempuan dan dibahagikan sama rata di antara mereka).

Namun begitu, hak anak perempuan juga tertakluk kepada kategori asobah Bil ghari iaitu sekiranya anak perempuan tersebut mempunyai adik beradik lelaki maka pembahagian perlu dilakukan dengan kadar sebanyak 2 bahagian bagi lelaki dan 1 bahagian bagi perempuan. Sebaliknya anak lelaki akan mengambil seluruh harta jika tiada waris fardu (waris yang telah ditentukan haknya).

Kesimpulannya, tertib dalam pengurusan harta pusaka Islam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Sesungguhnya, memahami kaedah pembahagian harta dalam Islam amatlah penting dan dititik beratkan malahan perlaksanaannya adalah berdasarkan ketetapan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Di samping itu, kepentingan memahami dan mengetahui tertib pengurusan harta pusaka Islam adalah demi menjaga objektif maqasid syariah dalam mempertahankan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan waris yang masih hidup di samping mengimarahkan harmonisasi dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Mudahkan faraid harta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker