Kerajaan tak boleh pakai?

Pastikan setiap wang rakyat dikembali pada golongan memerlukan

 

1. USAHA berterusan Ustaz Ebit Liew dan pelbagai NGO Islam terkemuka membantu golongan miskin yang teruk dihimpit kesempitan hidup terutama dalam fasa pendemik COVID-19 kali ini adalah amat terpuji dan harus dicontohi semua

2. Sebagai contoh, Ustaz Ebit Liew baru-baeu ini membantu sekeluarga berbangsa India yang dilaporkan hidup di dalam kereta selama berbulan-bulan. Sebelum itu beliau mendermakan beberapa buah basikal untuk anak muda Melayu yang bekerja sebagai penghantar Food Panda dengan hanya berjalan kaki. Beliau juga amat terkenal dengan usaha membantu golongan gelandangan, fakir miskin yang terlepas bantuan kerajaan serta para petugas frontliner COVID-19 dalam fasa yang amat kritikal ini

3. Tidak kurang juga usaha yang ditunjukkan oleh banyak NGO dan Yayasan Islam yang bertungkus-lumus membantu golongan fakir miskin siang dan malam dengan ribuan petugas di segenap pelusuk negara

4. Di sebabkan liputan media sosial yang meluas, ramai memuji dan mengangkat para individu dermawan dan NGO harapan ummah ini sebagai hero. Terkadang sehingga menafikan peranan serta tanggungjawab yang telah dimainkan oleh pelbagai agensi dan badan kerajaan dalam aspek ini

5. Fenomena ini pada pandangan saya mungkin didorong oleh beberapa faktor. Pertama, peranan yang dimainkan oleh agensi serta badan kerajaan kurang diviralkan dalam media sosial padahal jumlah bantuan dan demografi golongan yang dibantu jauh lebih meluas, sesuai dengan peranan kerajaan yang memerintah

6. Kedua, bantuan yang disampaikan oleh individu selebriti dan NGO berwibawa ini lebih ‘personalised’. Di sampaikan sendiri oleh tokoh yang dikenali. Menggunakan duit sendiri. Dan sumbangan dari poket-poket ahli. Perjalanan penuh dirakam lensa. Reaksi dan rasa syukur para penerima direkod kamera. Malah setiap peristiwa ini dinukilkan sendiri oleh tokoh dan para petugas NGO menggunakan bahasa mempengaruhi yang menyentuh emosi dan menjentik sanubari

7. Semua elemen-elemen ini jauh lebih besar impaknya berbanding berita rasmi bantuan kerajaan dalam Berita Harian atau Utusan Malaysia yang semakin tidak diendahkan generasi muda hari ini

8. Adapun perkara serupa yang diketengahkan oleh para pimpinan politik nera dilihat ramai amat bermotifkan politik dan ada ‘udang di sebalik batu.’ Walaupun ada ahli politik yang benar-benar ikhlas, stigma ini amat sukar untuk dikikis. Itu belum termasuk stigma sebahagian besar masyarakat bahawa berlaku ketirisan dalam proses penyampaian bantuan kerajaan yang menggunakan duit cukai yang dibayar rakyat

9. Jika saya menjadi Perdana Menteri atau menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan kebajikan rakyat, pertama sekali saya akan memastikan ketelusan dan integriti pada tahap tertinggi bagi memastikan setiap sen wang rakyat dikembalikan secara efektif kepada golongan yang memerlukan

10. Saya juga akan menjalinkan kerjasama strategik dengan para individu dermawan, NGO, yayasan dan pelbagai badan yang sangat tersusun dan komited melakukan usaha pengagihan bantuan kepada golongan yang memerlukan, yang kadang-kadang berada dalam blindspot (titik buta) kerajaan memerintah

11. Kerajaan memiliki dana yang amat besar. Namun NGO dan pelbagai badan masyarakat ini lebih dekat dengan rakyat serta memiliki jentera gerak kerja yang lebih berkesan di medan. Kerjasama erat ini sudah tentu mampu memberi manfaat lebih besar kepada seluruh rakyat

12. Saya akan menyalurkan bantuan kewangan yang besar kepada NGO, yayasan dan pelbagai badan masyarakat yang efektif dan konsisten membantu golongan yang memerlukan

Ir. Ts. Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA

Leave a Reply