Akar umbi UMNO Gua Musang terkilan Ku Li kembali bersama Mahathir

Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menjalin kerjasama semula dengan Dr Mahathir Mohamad menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan akar umbi UMNO di Gua Musang, kata naib ketua bahagian itu, Ab Aziz Yusof.

Beliau berkata ahli-ahli dan penyokong UMNO Gua Musang bersikap ‘positif’ terhadap teguran Tengku Razaleigh terhadap kepimpinan parti, tetapi terkilan dengan penampilan beliau bersama Mahathir baru-baru ini.

“Isu lain akar umbi tidak marah. Mereka hanya marah apabila Tengku Razaleigh bersama Mahathir membuat kenyataan bersama.

“Mereka dari dulu tidak setuju dengan Mahathir, jadi itu (Ku Li bersama Mahathir) mereka terkilan,” katanya kepada FMT.



Pada 14 Dis lalu, Mahathir dan Tengku Razaleigh menawarkan khidmat mereka bagi menyelamatkan negara yang mereka dakwa ditadbir kerajaan lemah dan menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang tidak mempunyai keabsahan.

Tengku Razaleigh turut mendesak Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Mahathir dibahaskan untuk menentukan keabsahan Muhyiddin.

Mahathir dan Tengku Razleigh berseteru pada 1980-an dan bersaing untuk kepimpinan UMNO yang berakhir dengan Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 selepas UMNO diharamkan.

Mahathir menubuhkan UMNO baharu dan terus menerajui parti itu sebelum keluar dan menyertai pembangkang manakala Tengku Razaleigh kembali menyertai UMNO.



Ab Aziz yang juga ADUN Nenggiri berkata Tengku Razaleigh masih menjadi tarikan utama di Gua Musang di sebalik desas-desus pemimpin itu tidak akan mempertahankan kerusi parlimennya pada pilihan raya umum akan datang.

“Terpulang kepada Tengku Razaleigh, kita memerlukan dia selaku ketua bahagian, selagi dia mampu, dia sihat, kita minta dia terus jadi calon di sini, sebab dia boleh menyatukan ahli UMNO Gua Musang, Walaupun dia tidak lagi bertanding, kita harap dia terus kekal menjadi penasihat kepada kami,” katanya.

Ab Aziz berkata beberapa kenyataan kontrovesi Tengku Razaleigh akhir-akhir ini di buat demi kebaikan parti itu sendiri, termasuk kenyataan yang mempersoalkan tindakan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional.

“Kenyataan (kritikan) Tengku Razaleigh kepada parti itu kita sudah biasa, kerana beliau seringkali mempunyai pandangan tersendiri yang mana dirasakan terbaik untuk parti, malah ia lebih kepada pandangan peribadi.



“Kritikan beliau kepada pucuk pimpinan juga tidak memberi kesan kepada akar umbi atau…membawa kepada perpecahan.

“Kita di peringkat akar umbi, kita mengambil langkah tunggu dan lihat (apa pendirian pucuk pimpinan). Jangan cepat menghukum. Kita jangan keliru,” katanya.

Khamis lalu, Tengku Razaleigh menzahirkan rasa “malu” dan “aneh” dengan persetujuan Zahid menyertai Majlis Presiden PN kerana UMNO bukan parti komponen dalam gabungan berkenaan.

“Di dalam anggota parti yang menyertai PN hanyalah PPBM dan PAS. Kenapa UMNO sertainya?” kata Tengku Razaleigh. FMT



Mahathir – Ku Li, 2 musuh lama kembali sepentas petang ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker