Guan Eng tak tau malu masih anggap dia ketua menteri PP, kata Wee
Isu berkenaan perkhidmatan feri Pulau Pinang menyaksikan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terus bertikam lidah.
Dalam hantaran di media sosialnya Wee menyindir bekas menteri kewangan itu sebagai “ketua menteri hujung minggu” untuk Pulau Pinang kerana terlibat dalam polemik mengenai feri di negeri berkenaan.
Wee yang juga presiden MCA mendakwa orang ramai kini keliru dengan keadaan itu kerana ketua menteri Pulau Pinang sebenar ialah Chow Kon Yeow.
Katanya ia menjadikan Lim “orang yang paling tak tahu malu”.
“Nampaknya tingkah laku Lim Guan Eng masih berlagak sebagai ketua menteri Pulau Pinang, walhal ketua menteri yang diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan tidak lain tidak bukan adalah YAB Chow Kon Yeow (CKY)
“Apa jua keputusan mengenai perkhidmatan feri, saya dan Tengku Zafrul (Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz) berbincang terus dengan ketua menteri yang sahih, CKY!
“Ramai orang Pulau Pinang keliru seolah-olah di Pulau Pinang mempunyai dua orang ketua menteri iaitu Chow sebagai ketua menteri hari bekerja manakala Lim ketua menteri hari minggu,” katanya.
Langkah lebih praktikal
Sebelum ini Lim mendakwa cadangan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang – yang mempunyai sejarah selama 126 tahun menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar – pada hujung tahun ini menunjukkan kerajaan pusat melakukan konfrontasi terbuka dengan rakyat negeri itu.
Kata Lim ‘perseteruan’ itu diketuai Wee sendiri.
Lim yang juga ahli parlimen Bagan mendakwa ada beberapa projek lain yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini turut dibatalkan PN.
Justeru, kata Lim, orang Pulau Pinang tidak akan memaafkan MCA dan Wee.
Menurut Wee sebelum ini kerajaan PH juga bersetuju untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan katamaran.
Malah katanya adik perempuan Lim yang kini menjadi anggota Dewan Negara Lim Hui Ying juga bersetuju dengan langkah berkenaan.
“Nampaknya keluarga Lim harus mengadakan pertemuan untuk menyeragamkan pandangan mereka,” katanya sambil menyarankan agar rujukan berkenaan hal itu dibuat kepada pernyataan rasmi (hansard) Lim Dewan Negara bertarikh 17 Dis 2020.
Tambah Wee, pihak yang benar-benar merosakkan nilai warisan berharga Pulau Pinang adalah Lim sendiri.
“Cuba jawab, siapakah yang melakukan penambakan tanah dan memusnahkan bukit-bukau di Pulau Pinang?
“(Juga) tidakkah menggantikan perkhidmatan feri – yang terdedah kepada kerosakan – dengan katamaran merupakan langkah yang lebih praktikal untuk melindungi keselamatan orang ramai dan lebih bermanfaat bagi industri pelancongan dan pengangkutan Pulau Pinang?” katanya. Mk
You must be logged in to post a comment.