Zahid sertai Majlis Presiden PN dengan restu MKT UMNO – Razlan

PETALING JAYA: ‘Bantahan’ Tengku Razaleigh Hamzah terhadap tindakan Ahmad Zahid Hamidi menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) tidak berasas kerana langkah itu direstui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sendiri.

Ahli MKT, Mohd Razlan Rafii, dalam memberikan penegasan itu, turut mempersoalkan ‘rasa malu’ Tengku Razaleigh atas tindakan presiden UMNO itu.

“Zahid sertai Majlis Presiden PN bukan keputusan dibuat tanpa perbincangan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Apa dilakukan presiden (Zahid) mengikut keputusan dibuat MKT UMNO. Jadi perkataan malu itu saya tidak faham apa maksud Tengku Razaleigh,” kata kepada FMT.

Mohd Razlan Rafii.

Khamis lalu, Tengku Razaleigh menzahirkan rasa “malu” dan “aneh” dengan persetujuan Zahid menyertai Majlis Presiden PN kerana UMNO bukan parti komponen dalam gabungan berkenaan.

“Di dalam anggota parti yang menyertai PN hanyalah PPBM dan PAS. Kenapa Umno sertainya?” kata Tengku Razaleigh.

Dalam pada itu, Razlan berkata apa-apa sahaja keputusan di dalam Majlis Presiden PN akan dibawa ke MKT Umno untuk dibincangkan.

Katanya, penyertaan Umno ke dalam Majlis Presiden PN antara lain bertujuan mencari titik pertemuan antara parti yang akan bersama Umno menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kena usaha dan cari titik pertemuan dengan mana-mana parti yang mahu bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) dan memenangkan (gabungan itu) dalam PRU15.

“Jadi Majlis Presiden PN akan bincang (pembahagian) kerusi dan hala tuju, kerana kita hendak hadapi PRU15,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penubuhkan Majlis Presiden PN dianggotai semua ketua parti dalam kerajaan pimpinan beliau.

Majlis Presiden itu berfungsi sebagai wadah memperkukuh kerjasama antara parti dalam mentadbir negara selain mengukuhkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya umum ke 15.

UMNO bukan parti komponen PN, namun merangkumi blok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Kalangan pemimpin UMNO menegaskan sokongan parti itu untuk kerajaan PN hanya untuk menstabilkan politik negara, sehingga Dewan Rakyat dibubar untuk pilihan raya umum diadakan.

Bagaimanapun ada pemimpin lain yang mahu UMNO komited untuk bekerjasama dengan PAS dan PPBM dalam memastikan pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan pada PRU-15.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker