Tengku Zafrul buat dosa besar – Guan Eng

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz didakwa dengan sengaja mengelirukan Parlimen berhubung pelaksanaan perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Tengku Zafrul juga dilihat telah melakukan dosa besar sebagai Menteri apabila memungkiri janji di Parlimen mengenai perkara itu.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tindakan Tengku Zafrul itu juga bukan sahaja telah merosakkan kredibilitinya malah membahayakan reputasi antarabangsa negara yang dilihat sebagai lemah tanpa pengaruh terhadap dasar kerajaan.

“DAP amat kecewa dengan Tengku Zafrul kerana gagal menepati janjinya di Parlimen pada 17 Disember lalu untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang setelah pengumuman penamatannya oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.



“Saya harap Tengku Zafrul memberi penerangan kepada rakyat Pulau Pinang secara terbuka menjelaskan keadaan yang membingungkan ini, yang boleh membawa kesan serius lebih daripada sekadar mempertahankan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada tahun 2021 dan 2022.

Sementara itu, Ka Siong pula dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan feri yang moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Menurut Guan Eng pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri ini yang diketuai oleh orang suruhan mereka, MCA dan Ka Siong.



“Ini bukan kali pertama Pulau Pinang menderita teruk akibat politik balas dendam sejak Kerajaan PN mengambil alih pada Mac lalu. Selain feri, Pulau Pinang kehilangan beberapa projek pembangunan yang telah diluluskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM7 bilion dalam bentuk cukai dan hasil tahunan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan tetap menarik balik semua projek pembangunan kritikal yang diperuntukkan oleh Kerajaan PH,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, MCA dan Ka Siong tidak akan pernah dimaafkan dan dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana politik balas dendam mereka yang disifatkan sebagai kejam.

“Antara projek pembangunan yang dibatal adalah penamatan cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan pembatalan geran RM100 juta untuk membina kereta kabel Bukit Bendera.



“Selain itu, Kerajaan PN juga menangguhkan jaminan untuk Kerajaan Pulau Pinang bagi mendapatkan pinjaman membiayai pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam mengatasi kesesakan kronik lalu lintas di sini ,” katanya. K. online

Tindakan Zafrul teruskan khidmat feri kerana syarat saya, dakwa Guan Eng



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker