Pemuda cari pucuk paku maut diserang binatang buas
LENGGONG: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut, dipercayai akibat serangan binatang buas di kawasan hutan berhampiran Kampung Banggol Batu, dekat sini, semalam.
Mayat Mohamad Roslan Kamarul Zaman ditemui kira-kira jam 12 tengah malam tadi oleh adik tirinya, Muhammad Azuan Asril, 19, bersama penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencari.
Ibu mangsa, Norhatijah Hashim, 51, berkata dia yang meminta Muhammad Azuan keluar mencari Mohamad Roslan selepas mangsa masih tidak pulang ke rumah awal malam semalam.
“Kira-kira jam 7 petang semalam, saya tanya Azuan di mana abangnya dan dia memberitahu, abang keluar mencari pucuk paku. Oleh kerana sudah hampir Maghrib, saya minta dia keluar mencari,” katanya.
Katanya, Muhammad Azuan keluar bersendirian mencari abang tirinya di hutan sekitar rumah mereka, tetapi tidak berjaya menemuinya.
“Dia kemudian dengan bantuan kawan-kawan serta penduduk kampung keluar sekali lagi, kira-kira jam 10 malam. Mereka masuk semula ke dalam hutan sehinggalah berjaya menemui anak kedua saya itu yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Ketika ditemui petang tadi, Norhatijah berkata, dia dimaklumkan kematian anaknya dipercayai akibat serangan binatang buas.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood, berkata Balai Polis Lenggong menerima laporan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Katanya, berdasarkan keterangan, terutama daripada Muhammad Azuan, mangsa bekerja kampung termasuk mencari pucuk paku untuk dijual sambil membantu ibunya menjual makanan.
“Kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa memberitahu hendak keluar mencari pucuk paku. Biasanya dia akan kembali ke rumah selepas dua tiga jam keluar, namun petang semalam, dia tidak pulang hingga malam.
“Adik tiri mangsa bersama penduduk kampung kemudian keluar mencari dan menemui motosikal Mohamad Roslan sebelum menemui mangsa di satu kawasan suak di hutan Kampung Banggol Batu,” katanya.
Ketika ditemui, katanya, mangsa dalam keadaan tertiarap dengan bahagian pinggang hingga kaki berada dalam lopak air.
“Banyak kecederaan dikesan pada bahagian badan disyaki diserang binatang buas. Lokasi mayat ditemui hanya kira-kira 1 kilometer dari jalan besar dan untuk ke lokasi mayat ditemui, hanya boleh dilalui motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
“Menurut penduduk, di kawasan itu banyak babi hutan,” katanya menambah, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
Mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat serangan binatang.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Belimbing, selepas solat Jumaat.