Kisah Makanan Sejuk Beku Buatan Bumiputera Yang Laris Di China..Selamat Maju Jaya

Memang senang untuk memulakan perniagaan tapi bukan mudah untuk terus mengekalkanya. Mereka yang menceburi bidang ini pasti ada kisah jatuh bangun sendiri yang harus ditempuhi dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang usahawan.

Siapa yang pernah merantau ke luar negara pastinya tahu bagaimana rasanya berada di bumi asing dan merindui makanan dari tanah air. Pengalaman itulah yang mencetuskan segala-galanya buat Fatihah Anis Ibrahim, 58, pengasas kepada Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd.

Bermula dengan hasrat untuk memakan murtabak ketika berada di kota London yang malangnya terbantut dek kerana kekurangan skil memasak, Fatihah kemudiannya menyimpan azam untuk menghasilkan sendiri produk sejuk beku berasaskan kulit popiah. Hasratnya itu kemudiannya dapat direalisasikan sejurus beliau pulang ke tanah air.

Mengimbau kembali kepada 40 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1980, Fatihah memulakan perniagaan produk sejuk bekunya hanya dengan berasaskan karipap pusar sebelum terhasilnya syarikat Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd.



“Sejurus pulang ke Malaysia, saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Hanya berbekalkan satu peti sejuk kecil dan motosikal untuk penghantaran,” ujarnya.

Siapa sangka, perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan oleh wanita cekal ini kini sudah mempunyai kilangnya tersendiri dan memiliki dua lori sejuk beku yang digunakan khas untuk tujuan penghantaran.

Berkat usahanya selama hampir 40 tahun dalam menempa kejayaan untuk membina jenama Fatihah Frozen Food, produk anak Melayu ini kini sudah menjengah ke pasaran antarabangsa.



Dalam krisis pandemik COVID-19 ini, Fatihah boleh menarik nafas lega apabila persidangan APEC 2020 pada tahun ini dianjurkan di Malaysia. Hal ini secara tidak langsung membolehkan beliau untuk meneroka pasaran baru di rantau Asia Pasifik.

Kini, Brunei, Singapura, Thailand, malah China merupakan pasaran yang telah berjaya ditembusinya.

“Sejak produk Fatihah Frozen Food mula diperkenalkan di pasaran, antara pelanggan utama saya berasal dari Brunei. Sokongan yang diterima secara tidak langsung membolehkan saya memperluaskan lagi jaringan perniagaan,” jelasnya lagi.



Menembusi pasaran global bukan lah semudah seperti yang ditunjukkan dalam drama pukul 7 petang,. Menurut Fatihah, terdapat pelbagai onak dan duri yang terpaksa ditelan seperti bersaing dengan jenama besar yang lain yang sudah lama bertapak kukuh dalam pasaran.

Tambahnya lagi, syarikat yang diusahakannya juga turut berdepan isu seperti lokasi kilang dan sumber kewangan untuk melengkapkan pensijilan bagi tujuan eksport.

Hadirnya agensi kerajaan telah memudahkan Fatihah untuk mendapatkan sijil hasil daripada bantuan yang dihulurkan dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA), dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selain itu, menerusi program bimbingan perniagaan, pemasaran dan pembungkusan produk, Fatihah turut mendapat bimbingan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SIRIM.



Berazam untuk terus melebarkan sayapnya, jenama Fatihah Frozen Food telah menyasarkan untuk memperluaskan lagi capaian dalam pasaran tempatan menerusi 200 ejen baharu dalam masa terdekat ini.

Melihat kepada sambutan hangat yang diraih dari pelanggan tempatan seiring dengan tumpuan yang diterima dari pasaran antarabangsa, Fatihah berkata bahawa keunikan produknya terlahir dari kreativiti dan fleksibiliti jenamanya dalam memenuhi permintaan pasaran semasa.

Antara variasi produk keluaran Fatihah Frozen Food adalah berasaskan Royale Paratha yang boleh dipelbagaikan menjadi waffle pizzaparatha egg tart, paratha wrap dan quiche!



Kreatif dan fleksibel, tidak hairanlah kenapa produk dari jenama ini mendapat sambutan yang baik dari pelanggan dan berjaya merangkul anugerah Tesco Top 10 SME (2018) dan Top 5 Sales Bumiputera SME di Lulu Hypermarket (2019).

Untuk perancangan masa hadapan, Fatihah Frozen Food akan terus mencuba untuk menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa dengan penggunaan teknologi digital.

Kini, Fatihah sedang dalam proses untuk menjadikan platform atas talian sebagai tempat urusan jual beli produknya selain kaedah jualan biasa seperti melalui ejen.

Fatihah juga berharap bahawa melalui pelantikan ejen ini, ia dapat membuka peluang untuk orang ramai menambahkan lagi pendapatan sejajar dengan tema APEC pada tahun ini iaitu Kemakmuran Bersama-TheVocket



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker