Highland Towers: Biarkan memori ketakutan, trauma 27 tahun ‘berehat’

AMPANG: Kira-kira 27 tahun lalu, penduduk yang tinggal berhampiran Taman Sri Ukay menyaksikan tragedi yang akan menghantui mereka selama-lamanya – runtuhnya Blok 1 Highland Towers.

Tragedi itu meragut 48 nyawa, dan mereka yang terjejas hidup dengan mimpi ngeri selama lebih dua dekad kerana dua blok lain masih “berdiri” di situ, yang akan mengingatkan mereka mengenai hari “gelap” itu.

Kini, penduduk akhirnya lega kerana ada rancangan untuk merobohkan bangunan tinggal itu dan mengubahnya menjadi tempat bersejarah.

Pada 11 Disember 1993, tanah runtuh disebabkan hujan lebat dan saluran paip pecah mengakibatkan bangunan 13 tingkat Blok 1 menyembah bumi, menguburkan ramai penduduk di bawah runtuhan. Penduduk yang berada di Blok 2 dan 3 terpaksa dipindahkan tidak lama kemudian.

Awal bulan ini, sempena ulang tahun tragedi malang itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan merancang mengindahkan semula kawasan kondominium yang terbiar sejak 27 tahun lalu itu sebagai tapak bersejarah. Ia melibatkan perobohan bangunan yang tinggal.

Penduduk menyambut baik cadangan itu.

Rosanna Musa, anak perempuan bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam, yang kehilangan abangnya dalam kejadian itu berkata, orang lain seperti juga keluarganya menantikan “penutupan” kawasan berkenaan.

“Tragedi itu masih segar dalam ingatan semua orang,” katanya kepada FMT, “Saya rasa selepas kawasan ini diubah, ia boleh menjadi tempat di mana orang ramai boleh mengingati orang yang mereka sayang dan yang telah pergi.”

“Apabila ia akhirnya dibuka, ia pasti menjadi tempat yang ingin saya, ayah dan anak perempuan abang saya ingin kunjungi. Ia juga baik untuk kawasan kejiranan, mereka hidup lebih dari 25 tahun bersama memori itu. Saya yakin mereka ingin berehat.”

Harbans Singh berkata tragedi itu masih segar dalam ingatannya dan menyambut baik rancangan untuk merobohkan bangunan yang tinggal.

Harbans Singh, naib presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hillview menyambut baik idea berkenaan dan berkata kejadian itu masih segar dalam ingatannya.

“Rumah saya di hujung jalan, pada mulanya kami mendengar bunyi bising. Selepas kira-kira sejam kami menyedari sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat lori dan kereta datang. Kami berjalan keluar dari rumah dan melihat dari tiga bangunan, hanya dua masih berdiri.

“Saya rasa bagus kalau ada laman peringatan, ia peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelumnya, dan cadangan yang baik untuk menjadikannya taman, ada banyak burung di sini, ia akan menjadi kawasan hijau dan baik untuk kejiranan.”

Sementara itu, presiden persatuan penduduk Siti Hendon Chik, masih ingat “ketakutan, trauma dan rasa tidak percaya”, banyak yang ditinggalkan bertahun-tahun lalu dan menyatakan penduduk ingin melihat tindakan akhirnya diambil.

Katanya, sudah bertahun-tahun penduduk dimaklumkan mengenai rancangan di kawasan berkenaan, namun sehingga kini masih tiada sebarang kemajuan.

“Kali pertama janji dibuat sekitar dua tahun lalu, jadi kami menanti perkara yang akan dilakukan. Penduduk tidak berpuas hati atas kelewatan ini, kami sangat berharap ia akan berjalan tidak lama lagi,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker