Sentimen beli barangan tempatan bantu perniagaan bangkit semula



Sebaran :

Hampir tujuh dalam 10 pengguna Malaysia (69 peratus) membeli lebih banyak daripada jenama tempatan dalam usaha membantu perniagaan ini bangkit semula dari wabak Covid-19.

Trend ini lebih nyata di negara ini berbanding di Thailand (67 peratus), Vietnam (58 peratus) dan Singapura (51 peratus), menurut Kajian Sentimen Pengguna ASEAN UOB 1.

Hanya Indonesia menunjukkan pilihan pengguna terhadap produk tempatan yang lebih tinggi, iaitu pada 72 peratus.



Raymond Chui, Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Perniagaan, UOB Malaysia berkata, sentimen positif dalam tinjauan ini merupakan pendorong semangat bagi perniagaan tempatan Malaysia yang terjejas oleh langkah-langkah untuk mengekang penularan Covid-19.

”Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menyokong perniagaan tempatan boleh dan dapat melakukan perbezaan. Apabila jenama tempatan dipilih, ini bermakna potensi jualan yang lebih tinggi untuk perniagaan Malaysia, yang seterusnya akan membantu meningkatkan keyakinan pemilik dan kakitangan.

”Memandangkan langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan untuk memerangi Covid-19, pengguna lebih cenderung menunjukkan sokongan mereka terhadap jenama tempatan melalui pembelian dalam talian.



”Mujurlah, lebih ramai pengguna dan perniagaan sanggup beralih ke Internet untuk membeli dan menjual barangan. Ini dapat dilihat melalui peningkatan untuk jualan dalam talian sebanyak 41 peratus tahun ke tahun bagi pelanggan perniagaan runcit bank sejak Mac hingga Oktober tahun ini,” kata Chui.

Kajian Sentimen Pelanggan ASEAN UOB, yang dijalankan oleh UOB dan Blackbox pada Julai 2020, bertujuan
memberikan pemahaman lebih baik mengenai pengguna ASEAN ketika rantau ini mengalami transformasi sosial
dan ekonomi yang besar.

Lebih 3,500 responden dari lima negara ASEAN telah ditemubual, termasuk 1,000 dari Singapura dan lebih 600 dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam masing-masing.



Menurut Bank Negara Malaysia, kerugian harian dalam Keluaran Dalam Negara Kasar sebenar akibat sekatan kawalan pergerakan yang dilaksanakan mulai 13 Oktober 2020 adalah kira-kira RM0.3 bilion, selain RM0.9 bilion hingga RM1.4 bilion dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020.

Di samping itu, kajian ini juga mendapati bahawa akibat wabak ini, pengguna Malaysia mengutamakan perbelanjaan dalam talian untuk penghantaran makanan (91 peratus), barangan runcit (89 peratus), makanan kesihatan tambahan (84 peratus), produk kecantikan peribadi (85 peratus) dan pakaian (88 peratus).

Pengguna Malaysia lebih gemar berbelanja di perniagaan yang bertanggungjawab secara sosial Kajian Sentimen Pengguna ASEAN UOB mendapati bahawa 60 peratus daripada pengguna Malaysia yang ditinjau telah berbelanja lebih banyak di perniagaan yang menyokong kehidupan dan punca pendapatan yang terjejas akibat Covid-19.



Sebanyak 53 peratus responden menyatakan mereka akan berhenti membeli daripada jenama yang tidak bertanggungjawab atau yang mengambil kesempatan daripada pengguna semasa pandemik.

Chui berkata, sejajar dengan kempen kebangsaan #kitajagakita 5 (kita saling menjaga antara satu sama lain), pengguna juga menggunakan kuasa belanja mereka untuk membeli daripada perniagaan yang berusaha membantu masyarakat memerangi Covid-19.
Trend ini menunjukkan betapa pentingnya untuk perniagaan beroperasi secara bertanggungjawab dan syarikat yang mempunyai
amalan perniagaan yang bertanggungjawab kemungkinannya akan lebih maju dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, katanya, dalam menyediakan saluran baharu kepada perniagaan untuk menarik pelanggan, UOB Malaysia telah
melancarkan Move Your Business Online (MYBO) baru-baru ini.



MYBO merupakan penyelesaian e-dagang yang membantu perniagaan kecil tempatan dalam sektor runcit membangunkan keupayaan jualan dalam talian mereka.

Melalui MYBO, perniagaan seperti ini dengan mudahnya dapat mewujudkan laman web e-dagang yang disesuaikan dalam tempoh tiga hari, lengkap dengan keupayaan pembayaran dan penghantaran bagi membolehkan mereka mendekati lebih ramai
pelanggan dalam talian.

UOB Malaysia juga telah bekerjasama dengan StoreHub bagi memenuhi keperluan pengendali outlet makanan dan minuman (F&B).

Pelanggan perniagaan F&B Bank menikmati fi langganan yang lebih rendah untuk sistem pengendalian restoran berasaskan tablet StoreHub dan khidmat penghantaran makanan dalam talian, Beep Delivery, selain penjimatan kos jangka panjang apabila menggunakan penyelesaian pengurusan perniagaan ‘semua dalam satu’ StoreHub 4, ujarnya. MG

Politik Sentimen dan Emosi


Sebaran :


Leave a Reply