Mutasi Covid-19 UK, KKM tetap kekalkan kuarantin 10 hari

Kementerian Kesihatan akan mengekalkan tempoh kuarantin 10 hari yang dikenakan terhadap pengembara yang masuk ke Malaysia, termasuk dari United Kingdom (UK), berbanding tempoh 14 hari.

Ini meskipun UK mengumumkan sekatan Covid-19 yang lebih ketat ekoran mutasi koronavirus itu yang menyebabkan lonjakan kes jangkitan sehingga 70 peratus.

Negara-negara Eropah turut dilaporkan membuat sekatan kemasukan ke atas UK gara-gara wujud kebimbangan terhadap varian baru Covid-19 yang dikatakan lebih cepat dan lebih mudah merebak berbanding biasa.

Menurut ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, tidak ada banyak bezanya antara tempoh kuarantin 10 dan 14 hari.

“Kita telah lihat data, dari segi kuarantin, tempoh 14 hari dan tempoh 10 hari tak banyak beza. Apa yang penting, kena kuarantin sekurang-kurangnya 10 hari.

“Kebanyakan virus dijangkiti ada gejala dan boleh dikesan pada minggu pertama, tapi kalau kita guna kaedah tujuh hari kuarantin, risiko dia lebih tinggi.

“Jadi kita ambil 10 hari, dan kajian melihat 10 dan 14 hari lebih kurang sama,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 13 Dis, Noor Hisham mengumumkan tempoh kuarantin dipendekkan dari 14 hari ke 10 hari untuk pengembara yang melakukan perjalanan ke Malaysia, dengan memetik beberapa negara yang telah melaksanakan tempoh kuarantin 10 hari seperti Britain, Jerman dan Belgium.

Katanya, keputusan itu dilakukan berdasarkan data klinikal daripada seluruh dunia.

Sementara itu, Noor Hisham berkata kementerian telah mengenal pasti mutasi Covid-19 yang dilabelkan A701B berdasarkan 60 sampel yang diperoleh daripada pesakit kluster Benteng LD.

Mutasi itu, katanya, sama dengan yang dikesan di negara Australia, Afrika Selatan dan juga Netherlands.

“(Sekarang ini) Kami tak pasti apakah ia mempunyai kadar jangkitan tinggi dan (bagaimana) tahap keganasan,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini, kementerian turut mengesan mutasi Covid-19 yang dilabelkan 614G dalam kluster Sivagangga di Kedah, serta dari kes di Johor dan Sabah pada Ogos.

Dia memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memantau varian Covid-19 termasuklah mutasi terbaru yang dikesan di UK.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker