Menteri Besar Perak umum portfolio Exco
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini mengumumkan kesemua portfolio Exco di bawah pentadbirannya.
Barisan exco kali ini memperlihatkan beberapa perubahan khususnya melibatkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing dua dari Pas, satu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu dari Barisan Nasional (BN).
Bagi portfolio Menteri Besar Perak, Saarani mempengerusikan Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.
ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang baharu dilantik sebagai Exco diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bagi Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula diberikan tanggungjawab baharu sebagai Exco Perladangan, Pertanian dan Sekuriti Makanan yang sebelum ini dipegang ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.
Abdul Yunus pula kini sebagai Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil.
Seorang lagi ADUN Pas, Mohd Akmal Kamarudin pula kini memegang portfolio Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang sebelum ini dipegang ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
Sementara itu, Ahmad Saidi kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia.
Baki lima lagi exco mengekalkan portfolio masing-masing termasuk ADUN Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin yang memegang portfolio tambahan iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ditanya mengenai perubahan ketara portfolio bagi ADUN Pas, Saarani berkata, pertukaran portfolio itu bukanlah rombakan exco sebaliknya merupakan sebuah Kabinet kerajaan baharu.
Katanya, tidak timbul soal portfolio berubah kerana kerajaan yang dibentuk merupakan pasukan baharu.
“Dengan kebolehan yang ada saya yakin semua exco akan dapat memberikan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan harapan rakyat supaya kerajaan ini dapat memberi tumpuan kepada membela nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Pengupayaan, Pemerkasaan Persatuan Belia dan Persediaan Kontinjen Para SUKMA Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saarani turut mengumumkan dua lantikan baharu iaitu ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak manakala ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abd Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar Perak Bertaraf Exco.
1. YAB Dato’ Saarani Mohamad
– Menteri Besar Perak
– Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC
2. YB Dato’ Haji Zainol Fadzi Paharudin
– Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi
3. YB Tuan Haji Razman Zakaria
– Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan
4. YB Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohamed Radzi
– Pengerusi Jawatankusa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan
5. YB Dato’ Shahrul Zaman Yahya
– Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor
6. YB Dato’ Abdul Yunus Jamahri
– Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil.
7. YB Encik Mohd Akmal Kamarudin
– Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
8. YB Datik Dr. Wan Norashikin Wan Noordin
-Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO
9. YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun
– Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam
10. YB Encik Khairul Shahril Mohamed
– Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia
11. YB Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud
– Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia