KPDNHEP siasat isu kartel daging di bawah 2 kesalahan cap dagangan

Kementerian sedang siasat syarikat tempatan disyaki terlibat

PUTRAJAYA, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram di bawah dua kesalahan cap dagangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata syarikat terbabit disiasat di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita juga bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang turut menyiasat kes ini dan buat masa sekarang siasatan masih berjalan.

Bagi KPDNHEP, kita tumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Mengenai Program Jualan Kembali Ke Sekolah itu, Nanta berkata objektif program adalah untuk membantu pengguna khususnya ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak pada harga promosi dan berpatutan.

“Melalui kempen Kembali Ke Sekolah ini, semua pasar raya dan syarikat-syarikat pengeluar yang menjual kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, buku dan alat tulis digalakkan untuk menawarkan potongan harga istimewa melalui permohonan jualan murah atau kempen penurunan harga.

Untuk itu, KPDNHEP juga telah mempermudahkan proses permohonan jualan murah ini kepada para peniaga,” katanya

Peniaga hanya perlu mengemukakan notis jualan murah secara dalam talian melalui aplikasi My Sales Tracker, dan dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dikemukakan, peniaga sudah boleh melakukan jualan murah, katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker