Rombakan Kabinet: Tokoh baharu diperkenal kukuhkan pentadbiran Jokowi
JAKARTA: Spekulasi tentang rombakan Kabinet oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini terjawab apabila beberapa nama baharu dari kalangan tokoh politik ternama kini membarisi pentadbirannya.
Dalam satu sidang media di Istana Merdeka, Jakarta pada petang Selasa, Jokowi mengumumkan bahawa jawatan Menteri Kesihatan yang sebelum ini disandang Terawan Agus Putranto, akan digantikan oleh Budi Gunadi Sadikin.
Budi yang merupakan bekas tokoh perbankan dan ketua pasukan khas pemulihan ekonomi republik itu, menggantikan Terawan yang teruk dikecam kerana gagal menangani penularan COVID-19 di negara itu.
Setakat ini, Indonesia merekodkan lebih 670,000 jumlah kes kumulatif positif dan lebih 20,000 kematian, menjadikannya negara Asia Tenggara paling teruk terjejas akibat pandemik.
Selain itu, Tri Rismaharini yang selama ini proaktif sebagai Datuk Bandar (Walikota) Surabaya telah dinamakan sebagai Menteri Sosial. Beliau yang sebelum ini terkenal dengan kelantangan menguruskan hal-hal sosioekonomi kota itu bakal mengakhiri tempoh khidmatnya setelah selesai Pemilihan Ketua Daerah (Pilkada) 2020.
“Saya kira kita tahu semuanya beliau adalah walikota Surabaya. Dan saat ini Tri Rismaharini akan kita berikan tanggungjawab untuk menjadi Menteri Sosial,” ujar Jokowi tentang penyandang yang menggantikan Juliari Batubara itu.
Batubara ditahan awal bulan ini kerana terpalit dengan dakwaan menerima wang suapan bernilai AS$1.2 juta semasa pengendalian kontrak berkaitan dana bantuan COVID-19.
Sementara itu, bekas TImbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Salahuddin Uno diumumkan sebagai Menteri Pariwisata (Pelancongan) dan Ekonomi Kreatif.
“Saya ingin kenalkan, tapi semua pasti sudah kenal, Pak Sandiaga Salahudin Uno. Akan kita berikan tugas sebagai Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif,” kata Jokowi, lapor Kompas.com.
Sandiaga merupakan seorang usahawan berjaya dan ahli politik Parti Gerindra, bekas Ketua Himpunan Pengusaha Muda Indonesia, dan juga bekas pencabar Joko Widodo-Ma’ruf Amin dalam Pemilihan Umum 2019.
Sandiaga akan menggantikan Wishnutama Kusubandio.
Beberapa kementerian lain juga menyaksikan pertukaran menterinya. Mereka ialah Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas; Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono; dan Menteri Perdagangan Muhammad Lutfi.
Upacara angkat sumpah bagi semua menteri baharu itu akan dilangsungkan pada Rabu.