Kanser ketiga kerap berlaku dalam kalangan wanita muda Kanser ketiga kerap berlaku dalam kalangan wanita muda

Kanser servik atau pangkal rahim adalah kanser ketiga yang kerap berlaku dalam kalangan wanita muda di Malaysia selepas kanser ovari dan payudara.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof berkata, wanita muda lebih berisiko mendapat kanser tersebut iaitu mereka yang berusia antara 29 ke 45 tahun, tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak tetapi pernah dan aktif melakukan hubungan seks.

Beliau berkata, faktor yang meninggikan lagi risiko untuk golongan itu mendapat kanser servik apabila berlaku jangkitan virus Human Pappiloma virus (HPV) iaitu virus yang boleh disebarkan melalui aktiviti seks atau sentuhan.

Menurutnya, aktiviti seks rambang dengan pelbagai orang, mempunyai pasangan yang juga melakukan hubungan seks dengan lebih daripada seorang pasangan atau mengadakan hubungan seks dengan orang yang dijangkiti antara punca individu itu boleh mendapat infeksi virus HPV, seterusnya risiko mendapat kanser serviks.



Selain itu, katanya, faktor lain ialah jika individu itu memiliki sistem imun yang rendah, mengalami infeksi dengan virus HIV atau kuman penyakit kelamin, ia juga meninggikan risiko untuk mendapat kanser servik.

“Kanser servik ini tiada kena mengena dengan faktor makanan atau keturunan kerana ia berpunca daripada jangkitan virus HPV yang boleh menular melalui hubungan seks yang dilakukan.

“Bagaimanapun seseorang itu juga boleh mendapat jangkitan HPV menerusi penularan kulit ke kulit. Maknanya mereka mungkin tidak melakukan hubungan seks tetapi ada sentuhan seperti berpelukan, bercumbu atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, penting juga untuk difahami walaupun seseorang itu mendapat jangkitan HPV ia tidak bermaksud mereka mempunyai 100 peratus potensi untuk mendapat kanser.



Terdahulu, dilaporkan kira-kira 70 anggota dan pegawai wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tiga negeri dikesan menghidap virus HPV yang menjadi antara penyebab kanser pangkal rahim.

Sehingga kini, tiga wanita PDRM telah meninggal dunia akibat kanser servik dan 10 orang dikesan menghidap kanser itu.

Dalam pada itu, mengulas berhubung warga PDRM yang dikesan menghidap virus HPV, Dr Mastura berkata, apa yang perlu dilakukan adalah segera membuat pemeriksaan saringan lanjut melalui program Removing Obstacles to Cervical Screening (Rose) atau di fasiliti terdekat bagi memastikan mereka tidak mengalami perubahan pada sel di pangkal rahim atau menghidap kanser servik. Sinar



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker