Kit Siang tolak pelawaan jumpa KJ, takut ke?

Pemimpin DAP Lim Kit Siang menolak pelawaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk bertemunya selepas mesyuarat Kabinet esok susulan pertikaian membabitkan kos pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan.

Lim berkata, beliau ketika ini tiada di Kuala Lumpur dan tidak akan berada di Putrajaya bagi sesi sidang media Khairy, sebaliknya percaya tanggungjawab untuk mempersoalkan isu kos pembelian itu akan dilakukan petugas media.

“Biar Khairy beritahu rakyat perbezaan kos perolehan untuk Malaysia mendapatkan vaksin COVID-19, berbanding negara lain seperti Belgium dan Singapura. Apa lebih penting, biarlah Khairy umumkan vaksin ini percuma buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Khairy mempelawa Lim bertemunya, selepas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu terus mempersoalkan kos pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan.



“Jemput datang ke pejabat saya esok pada jam 1 tengah hari. Saya akan bertemu dengan anda selepas mesyuarat Jemaah Menteri. Saya harap anda dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan saya,” kata Khairy di Twitter.

Bagaimanapun, Lim berkata jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersedia untuk mengadakan sidang media atau acara khas berhubung persediaan Putrajaya dalam memerangi gelombang ketiga wabak COVID-19 dan strategi dirangka, beliau bersedia melapangkan masa.

“Saya akan pastikan masa saya kosong untuk pengumuman Muhyiddin, sekiranya dijemput,” katanya.

Difahamkan, Khairy akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan perolehan vaksin COVID-19 negara dan menjawab beberapa persoalan mengenainya.



Harga bagi setiap dos dijual kepada Malaysia sehingga kini masih tidak diketahui, kerana Pfizer melakukan perjanjian tanpa pendedahan. Bagaimanapun menurut Khairy, kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan vaksin pada harga bersesuaian.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca, bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin bakal diterima negara.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan meliputi 30% rakyat. FMT



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker