Fenomena Astronomi Unik Dilihat Di Pulau Pinang Selepas 800 tahun

BALIK PULAU, 22 Dis — Masyarakat di Pulau Pinang, khususnya pengkaji bintang, cukup bertuah semalam apabila mereka berpeluang menyaksikan fenomena  “Great Conjunction”  atau “kesebarisan”  planet Musytari dan Zuhal yang kali terakhir dilihat pada 4 Mac 1226.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), fenomena itu merujuk kepada penjajaran dua planet berkenaan yang akan berakhir dengan kedua-duanya kelihatan hampir bertindih.

Keadaan langit yang cerah membolehkan kesebarisan kedua-dua planet terbabit dilihat dengan mata kasar di barat daya kaki langit sebaik matahari terbenam.



Bernama menyertai   20 ahli Persatuan Astronomi Pulau Pinang (ASP) dan 15 kakitangan Jabatan Mufti Pulau Pinang menyaksikan fenomena itu di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Balik Pulau.

“Great Conjunction” mula kelihatan pada 7.43 malam.

Mereka yang menyaksikan fenomena itu tidak melepaskan peluang mengabadikan detik tersebut dengan mengambil gambar dan berswafoto.

“Saya akan mengingati saat ini selama-lamanya,” kata seorang daripada mereka selepas berswafoto berlatar belakang kesebarisan dua planet berkenaan.

Sementara itu, Presiden ASP Prof Dr Chong Hon Yew berkata penjajaran terdekat kedua-dua planet sehinggakan kelihatan seolah-olah “bertindih” ialah pada 9.13 malam, namun pada masa berkenaan kedua-duanya sudah “tenggelam” di kaki langit.

“Apapun, fenomena ini sesuatu yang harus disaksikan dan diceritakan kepada generasi akan datang, kerana anda tidak akan dapat melihatnya lagi hinggalah 2080 nanti,” katanya.



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Ling yang turut hadir menyaksikan fenomen tersebut di Pusat Falak Sheikh Tahir, berkata  beliau berharap dapat mempromosikan Perlis sebagai negeri pelancongan astronomi.

Katanya banyak lokasi di Perlis berpotensi sebagai kawasan untuk mencerap bintang kerana kadar pencemaran cahaya yang rendah selain mempunyai tanah datar seperti Chuping dan Wang Kelian.

“Saya berharap kerajaan negeri Perlis dapat menimbang perkara ini dan menilai potensinya untuk negeri,” katanya.

— BERNAMA



Ahli astronomi rakam lohong hitam ‘telan’ bintang



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker