Cara mengerjakan solat Dhuha dan doa Dhuha yang sahih yang diamalkan oleh Nabi SAW
Solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah (kira-kira 20 minit selepas terbit matahari ) hinggalah matahari berada tepat di tengah- tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).
Anjuran Rasulullah terhadap amalan Solat Dhuha adalah sebagaimana dalam sebuah hadis Riwayat Abu Hurairah ra:
“Telah bersabda Rasulullah SAW; Barang siapa yang memelihara jaminan (yang ada pada) Solat Dhuha, terampunlah baginya dosa-dosanya, sekalipun seumpama buih di lautan”
Lafaz Niat Solat Dhuha
“Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala”
Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua (2) rakaat sahaja atau boleh diulang sehingga enam (6) kali solat. Bacaan dalam solat dibolehkan membaca sebarang surah. Namun begitu dicadangkan untuk membaca surah al-Shams pada rakaaat pertama dan pada rakaat kedua surah ad-Dhuha
DOA DHUHA
“Betul ke solat sunat dhuha boleh banyakkan rezeki? Apa doa dhuha yang patut dibaca ye?”
Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari.
Menurut hadis, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:
أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya:
“Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.”
[Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]Mungkin ramai dah tahu bahawa Solat Sunat Dhuha boleh dikerjakan seperti mana solat sunat 2 rakaat yang biasa, dan ia boleh dilakukan sehingga 8 rakaat, dengan 4 kali salam.
Maka di sini kami kongsikan pula Doa Dhuha yang boleh dijadikan panduan untuk amalan harian kita bersama.
DOA SELEPAS SOLAT SUNAT DHUHA
Menurut Menteri Agama merangkap bekas Mufti WP, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, sebenarnya tidak ada satu doa khusus yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk solat sunat Dhuha.
Namun begitu, terdapat beberapa doa yang mahsyur, yang diajarkan oleh para ulama’ untuk diamalkan selepas solat sunat Dhuha.
Antaranya ialah:
DOA DHUHA 1
Dari ‘Aisyah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW selesai solat sunat Dhuha, baginda mengucapkan,
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
“ALLOHUMMAGHFIR-LII WA TUB ‘ALAYYA, INNAKA ANTAT TAWWABUR ROHIIM”
Maksudnya:
“Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”
(Diriwayatkan Baginda SAW membacanya seratus kali.)
(HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih.)
Bacaan yang lebih lengkap adalah bagi doa ini adalah seperti berikut:
رَبِّي اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْم
اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَصْبَحْتُ عَبْدَك وَعَهْدَك وَوَعْدَك أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَلَمْ أَكُ شَيْئًا أَسْتَغْفِرُكَ لِذَنْبِيْ فَإِنَّهُ قَدْ أَرْهَقَتْنِيْ ذُنُوْبِي وَأَحَاطَتْ بِيْ إِلاَّ أَنْ تَغْفِرَهَا لِيْ فَاغْفِرْهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya:
“Ya Tuhanku ampunkan dosaku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Ya Allah bagi-Mu segala pujian, aku di waktu pagi sebagai hamba-Mu dan atas perjanjian dengan-Mu dan apa yang Kamu janjikan, Kamu menciptakanku dan tiadalah aku sesuatu, aku beristighfar kepada-Mu dari segala dosaku kerana sesungguhnya ia telah membelenggu dosa-dosaku dan meliputiku kecuali Engkau mengampuninya, maka ampunkanlahnya hai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat dan Kasih Sayang.”
Selain doa di atas, terdapat satu lagi doa yang masyhur iaitu:
DOA DHUHA 2
اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ،
اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ
بِحَقِّ ضُحُائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتُ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Duha itu ialah waktu Duha-Mu, kecerahan itu ialah kecerahan-Mu, keindahan itu ialah keindahan-Mu, kekuatan itu ialah kekuatan-Mu, kekuasaan itu ialah kekuasaan-Mu dan perlindungan itu ialah perlindungan-Mu.
Ya Allah, jika rezekiku ada di langit maka turunkanlah, jika ada di dalam perut bumi maka keluarkanlah, jika ia sukar maka permudahkanlah, jika ia haram maka sucikanlah, jika ia jauh maka dekatkanlah.
Berkat waktu Duha-Mu, kecerahan-Mu, keindahan-Mu, kekuatan-Mu dan kekuasaan-Mu, berikanlah kepada kami segala apa (kebaikan) yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.
Rahmat Allah ke atas junjungan kita Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya sekalian. Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.