Ayob Khan terima ugutan bunuh terbaharu

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan terbaharu daripada anggota Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang mahu membunuhnya.

Beliau berkata, ugutan tersebut yang diterimanya pada minggu lalu dilakukan oleh tiga anggota LTTE yang berada di Selangor.

“Ugutan itu mengatakan tiga anggota LTTE akan datang ke Johor untuk membunuh saya. Ini ugutan terbaharu yang saya terima,” katanya menerusi Sinar Live bertajuk ‘Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!’ yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru di sini malam ini.

Program dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Ayob Khan bagaimanapun menyifatkan ugutan tersebut sebagai perkara lumrah bekerja sebagai anggota polis, malah keluarganya juga sudah faham dengan tugas serta tanggungjawabnya.

“Saya sedia maklum tanggungjawab sebagai anggota polis. Memang saya nampak tenang dan relaks tapi sebenarnya saya sentiasa mengambil langkah berhati-hati.

“Selebihnya saya serah kepada ALLAH. Hidup mati kita Dia yang tentukan,” katanya yang mula bertugas sebagai Ketua Polis Johor pada 24 Februari lalu.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya akan menggunakan anjing pengesan bagi membanteras kegiatan mengedar dadah dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

Menurutnya, beliau percaya langkah tersebut dapat membanteras jenayah berkenaan bukan sahaja di lokap-lokap di IPD tetapi juga di penjara.

Katanya, langkah tersebut adalah susulan selepas pihak polis menahan sembilan anggota polis yang terlibat mengedar dadah dalam lokap IPD Kota Tinggi pada 3 Disember lalu.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana sepanjang bertugas sebagai Ketua Polis Johor, tiada campur tangan politik daripada pemimpin di Johor, sekali gus memudahkan beliau menjalankan tugas.
Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker