Seorang pekerja di Alaska alami alergi selepas disuntik vaksin Covid-19 Pfizer

Seorang pekerja kesihatan di Alaska mengalami tindak balas alergi serius selepas disuntik vaksin virus korona Pfizer Inc-BioNTech, namun kini dalam keadaan stabil, kata pihak berkuasa kesihatan pada Rabu.

Reaksi negatif dialami individu terbabit, yang berlaku hanya beberapa minit susulan disuntik vaksin Pfizer itu pada Selasa lalu, sama seperti dua kes dilaporkan di Britain, minggu lalu.

Pengawal atur perubatan Britain berkata, sesiapa dengan sejarah anafilaksis atau reaksi alahan teruk terhadap ubat atau makanan tidak patut mendapat vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech itu.

Bagaimanapun, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS berkata, kebanyakan warga Amerika yang mempunyai alahan masih boleh menerima vaksin itu dengan selamat.

Katanya, hanya mereka yang sebelum ini menunjukkan reaksi alergi teruk terhadap vaksin atau bahan khusus di dalam vaksin ini patut mengelak mengambilnya.

Pesakit dari Alaska itu tiada sejarah tindak balas alergi, kata Lindy Jones, pengarah jabatan kesihatan di ibu negeri, Juneau, di mana individu berkenaan mendapat rawatan, pada sidang media maya.

Simptom ditunjukkan pesakit pertengahan usia itu diredakan susulan rawatan alahan, epinefrin, kata Jones.

Pesakit masih dirawat di Hospital Daerah Bartlett pada Rabu.

Menurut Pfizer, vaksin itu disertai amaran jelas bahawa pesakit mesti dipantau selain rawatan perubatan sewajarnya serta pemantauan disediakan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku anafilaksis. Selain itu, bahasa pada label vaksin juga akan dikemas kini jika perlu.

Pemberian vaksin itu bermula Isnin lalu di AS susulan kelulusan atas dasar kecemasan, minggu sebelumnya.

Dos awal disimpan untuk pekerja kesihatan dan penghuni rumah penjagaan.

Bekas ketua saintis FDA, Jesse Goodman, menyifatkan tindak balas alergi itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, tetapi berkata maklumat lanjut diperlukan untuk lebih memahami risiko yang ada.

“Kita perlu tahu beberapa faktor, contohnya berapa dos sudah diberikan? Adakah kesan sampingan akan dilihat lebih banyak dengan vaksin ini berbanding yang lain?

“Kita perlu mengetahui perkara seperti itu supaya boleh memaklumkan sama ada ia mengubah cadangan penggunaan atau cara vaksin digunakan.” FMT

Vaksin Pfizer berkesan 95 Peratus – MOSTI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker