PRU-15 mungkin diadakan separuh kedua 2021

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kemungkinan akan diadakan pada separuh kedua 2021 (H2 2021) sebaik sahaja situasi Covid-19 semakin reda dan sekiranya negara mampu mengawal penularan pandemik ini menerusi program vaksinasi secara besar-besaran, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

Pada 28 Nov, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya ada menyatakan pilihan raya umum akan berlangsung sebaik sahaja koronovirus dapat dikawal.

“Beliau turut menyatakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dan membiarkan mereka memilih kerajaan yang mereka inginkan. Ini boleh menjuruskan kepada kegiatan pengambilan untung berikutan ketidakpastian keputusan yang akan diperoleh daripada pilihan raya berkenaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan di sini hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata sekiranya pilihan raya diadakan, ia dijangka mampu meningkatkan kemeruapan pasaran dalam tempoh selepas Parlimen dibubarkan, terutamanya selama tempoh berkempen.



“Tetapi prestasi pasaran saham sebaik sahaja selepas pilihan raya akan ditentukan oleh tahap tekanan jualan sepanjang tempoh berkempen dan keputusan undian yang sebenarnya.

“Sekiranya tekanan jualan terus sengit dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum hari mengundi, ini bermakna kebanyakan berita buruk sebelum ini telahpun diambil kira. Juga, pasaran mungkin memperlihatkan pergerakan menaik sekiranya kerajaan memperoleh majoriti kukuh di Parlimen,” katanya.

CGS-CIMB berkata pemantauannya ke atas sembilan PRU yang lepas, mendedahkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) cenderung untuk memberikan pulangan purata yang lebih tinggi sehingga 12 bulan selepas pilihan raya berbanding 12 bulan sebelum pilihan raya umum.

Sementara itu, kebimbangan mengenai potensi penarafan turun bon-bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell boleh menjurus kepada aliran keluar jangka pendek dan asing dengan meningkatkan kemudahruapan dalam pasaran.



CGS-CIMB berkata kegusaran terhadap penurunan metrik fiskal, ketidakpastian politik dan telahan yang lemah untuk penambahbaikan dalam standard tadbir urus telah menyebabkan Fitch Ratings menurunkan tinjauan penarafan kedaulatan Malaysia kepada BBB+ daripada A- dengan tinjauan stabil walaupun ia kekal selamat dalam gred kategori pelaburan.

“Kami tidak menjangkakan penurunan selanjutnya oleh Fitch, walaupun pasaran mungkin memerhatikan sama ada Standard & Poor’s dan Moody’s mungkin mengambil pandangan yang lebih suram terhadap penilaian semasa mereka untuk Malaysia,” tambahnya.

Pegangan saham asing semasa di Malaysia pada akhir November 2020 adalah 20.8 peratus pada nilai anggaran sekitar RM364 bilion, dengan setiap perubahan 1.0 mata peratusan dalam nisbah pegangan saham asing akan menyebabkan aliran keluar sekitar RM17.5 bilion, kata CGS -CIMB.

Ia mengunjurkan pendapatan FBM KLCI menguncup 10.1 peratus tahun ini sebelum meningkat 38 peratus pada 2021.



“Selepas mencerminkan perubahan dalam konstituen KLCI, kami meningkatkan sasaran FBM KLCI akhir tahun 2021 menjadi 1,759 daripada 1,732 mata, berdasarkan sasaran pendapatan harga yang tidak berubah sebanyak 16.2 kali.

“Kami turut menasihatkan para pelabur untuk menceburkan diri dalam kitaran terpilih yang menawarkan nilai yang lebih mendalam bagi mereka yang mempunyai selera risiko yang tinggi,” katanya.

Lapan tema CGS-CIMB untuk tahun 2021 adalah peserta terkemudian, penerima aliran masuk dana asing, saham pertumbuhan, pilihan runcit, hasil dividen, pilihan syarikat berkaitan kerajaan, pemulihan pelancongan dan pilihan Syariah. MG



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker