Persiapan untuk PRU15, Pembangkang perlu teroka jalan baru

Semalam, Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat melalui undian belah bahagi yang sengit – menyaksikan 111 ahli parlimen menyokong berbanding 108 menolak. Seorang berkecuali.

Akhirnya, beberapa hal terbukti tidak menjadi kenyataan atau ternafi dengan sendirinya.

Misalnya dakwaan ketua pembangkang Anwar Ibrahim pada Sept lalu bahawa dia mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk menumbangkan kerajaan.

Juga spekulasi akan ada beberapa ahli parlimen kerajaan berpaling tadah dan menyertai pembangkang untuk mengundi menolak belanjawan berkenaan.

Pada saat pemimpin utama blok pembangkang menjadi perhatian banyak pihak buat masa ini, sayap pemuda mereka berkongsi pandangan dengan Malaysiakini mengenai langkah seterusnya yang harus diorak bagi menarik sokongan rakyat.

Wakil pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abu Hafiz Salleh Hudin, berpendapat sudah sampai masanya pembangkang meneroka ‘jalan baru’ dengan mengambil iktibar daripada laluan pernah mereka jejaki sebelum ini.

“Sekiranya hasil dari jalan lama terbukti gagal, maka adakah cerdik untuk teruskan gaya dan kaedah lama dengan mengharapkan keputusan berbeza?” katanya.

Dia turut memetik pepatah Inggeris yang bermaksud “definisi gila ialah melakukan hal yang sama berulang-ulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza.”

 

Harus sedar kekuatan yang ada

Katanya, kegagalan pembangkang menolak belanjawan baik di peringkat dasar, jawatankuasa mahupun bacaan ketiga seharusnya menyedarkan pemimpin pembangkang agar tidak kekal keras kepala dan ego untuk terus melangkah dengan cara lama sama ada di Dewan Rakyat mahupun PRU ke-15.

Bekas exco agama Pemuda Bersatu itu berkata, langkah pertama untuk meneroka jalan baru itu ialah memulakan rundingan dengan semua parti pembangkang sambil semua pihak bersikap terbuka dan berlapang dada.

Pandangan itu turut dikongsi Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Kata Shazni, meskipun gagal menolak Belanjawan 2021, undian semalam tetap merupakan suara terkuat pembangkang dalam sejarah demokrasi negara dan ia tak harus dipersiakan.

Bahkan menurutnya ia perlu diurus melalui meja rundingan ketika pembangkang menuju PRU ke-15.

Shazni Munir

 

Tambahnya, dengan kecelaruan dasar Perikatan Nasional (PN) yang memberikan keuntungan politik kepada ahli parlimen demi mengekalkan sokongan tipis, pembangkang harus sedar kekuatan dan potensi mereka hanya dapat dikekalkan dengan bersatu padu serta bekerjasama.

“Pembangkang juga sudah boleh rmula dengan cadangan formula agihan kerusi sebagai persediaan PRU akan datang.

“Perbincangan mungkin tidak harus bersifat rigid dan tertutup, namun kesediaan semua parti-parti di blok pembangkang untuk berunding dan bertolak-ansur pastinya menjadi permulaan yang baik dalam membentuk gabungan besar yang lebih kukuh,” tambahnya.

Selepas PH tumbang kepada PN pada hujung Feb lalu, keretakan semakin ketara di blok pembangkang terutama membabitkan gabungan itu dengan Warisan, serta ahli parlimen yang menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

 

Kelmarin, Mahathir mengakui sudah tidak berhubung dengan Anwar, manakala lapan ahli parlimen Warisan pula banyak kali tidak ikut serta undian belah bahagi belanjawan di peringkat jawatankuasa.

Kegagalan menolak belanjawan turut menimbulkan cakap-cakap mengenai kedudukan Anwar, lebih-lebih lagi sebelum ini pernah berjanji untuk melepaskan jawatan ketua pembangkang jika dia gagal membuktikan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Namun bagi Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman, pembangkang sudah mencuba sehabis daya dalam undian belah bahagi di peringkat perbahasan mahupun bacaan kali ketiga, namun angka 108 yang dicatat semalam itulah angka maksimum yang dapat diberikan.

Boleh usahakan penjajaran

Menyentuh langkah yang harus dilakukan pembangkang seterusnya, kata Syed Badli Shah, ia adalah untuk mengambil alih mandat daripada PN.

Katanya, Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan tidak mempunyai sokongan kukuh apabila di sepanjang 29 pusingan perbahasan peringkat jawatankuasa, tidak ada sekali pun bilangan undi kerajaan mencapai angka minimum majoriti mudah.

“Paling tinggi kerajaan boleh pergi ialah 111,” katanya merujuk undian dalam bacaan ketiga semalam yang pertama kali mencapai majoriti mudah – 111 daripada 222 kerusi keseluruhan di Dewan Rakyat.

Untuk rekod ketika ini dua daripada kerusi berkenaan kosong akibat kematian penyandangnya.

 

Namun, berdasarkan jumlah 108 sokongan yang dimiliki pembangkang, katanya, mengambil alih mandat bukan lagi terletak di tangan pembangkang, tetapi di tangan ahli-ahli parlimen kerajaan atau parti di dalam gabungan kerajaan.

“Hakikatnya, ahli parlimen pembangkang itu ada 108 saja. Kalau nak diubah angka itu, mesti ada campur tangan daripada pihak (parti) kerajaan.

“Untuk perubahan strategi pula, kerajaan yang ada inilah yang perlu berubah strateginya,” katanya ketika disoal apakah pembangkang memerlukan strategi baru selepas ini.

Menurut Syed Badli Shah lagi penjajaran semula harus dilakukan bersama.

Syed Badli Shah

 

 

“Contohnya, Umno buat penjajaran – sekarang Umno bersama PN dan strategi seterusnya mereka keluar dan bersama dengan PH.

“Itu contoh, (tetapi) itu boleh terjadi,” katanya lagi.

Bagi Timbalan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan (Dapsy), Chiong Yoke Kong, soal belanjawan sudah pun berlalu apabila ia berjaya melepasi undian.

Justeru katanya kini PH harus kembali kepada landasan memperjuangkan agenda rakyat.

“PH haruslah menghentikan segala percaturan politik untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan majoriti yang sangat tipis.

“PH harus balik kepada landasan dan fokus kepada agenda rakyat dengan tiga kerajaan negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, (serta) melakukan semak dan imbang yang secukupnya pada peringkat pusat.

“Bersiap sedia menghadapi PRU ke-15 yang berkemungkinan besar diadakan bila-bila masa,” jawabnya ringkas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker