COVID-19: WHO ingatkan vaksin bukan penyelesaian ‘silver bullet’

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bekerjasama rapat dengan fasiliti COVAX untuk mempercepatkan pengeluaran vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan.

Pengarah WHO di Rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai berkata, ia adalah bagi memastikan golongan berisiko tinggi di setiap negara mendapat akses kepada bekalan itu secara sama rata menjelang akhir tahun depan.

“WHO bekerjasama rapat dengan COVAX untuk membangunkan serta mengeluarkan vaksin yang selamat dan berkesan bagi memastikan keutamaan akses kepada semua golongan berisiko tinggi di seluruh negara menjelang akhir tahun 2021.

“Adalah penting saya maklumkan di sini bahawa kebanyakan negara di wilayah Pasifik Barat dijangka mendapat akses kepada vaksin selewat-lewatnya suku tahun kedua 2021,” katanya dalam sidang media maya mengenai COVID-19 di Rantau Pasifik Barat di Manila, pada Khamis.

Walaupun begitu, Kasai berkata, penemuan vaksin kepada virus COVID-19 tidak boleh dianggap sebagai silver bullet yang disifatkan sebagai penyelesaian tuntas kepada cabaran pandemik.

Katanya, masyarakat dunia masih lagi perlu menerapkan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian.

“Meskipun (penemuan vaksin ini) bagaikan sinar di hujung terowong namun ia tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian tuntas kepada pandemik.

“Pembangunan vaksin yang efektif dan selamat digunakan adalah satu hal, satu lagi memastikan ia sampai kepada semua peringkat.

“Pada fasa pertama, ia akan diedarkan kepada golongan berisiko tinggi. Ini bermakna kita perlu mematuhi kelaziman baharu bukan sahaja untuk melindungi kita tetapi juga orang di sekeliling kita,” katanya. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker