Sokongan sebulat suara DUN Perak kepada Saarani sebagai Menteri Besar
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak hari ini sebulat suara menyokong usul menyatakan kepercayaan kepada Datuk Saarani Mohammad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Usul tersebut dikemukakan oleh ADUN Trong, Jamilah Zakaria (UMNO) yang memohon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggunakan Perintah Tetap 80(2) yang dibacakan bersama Perintah Tetap 13(1).
Ia adalah bagi membolehkan DUN mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar Perak ke-14.
Jamilah juga memohon DUN menggunakan perintah tersebut untuk menyatakan kepercayaan penuh ahli Dewan itu terhadap Saarani dan berikrar memberi kerjasama serta sokongan sepenuhnya kepada beliau bagi menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan penuh amanah dan berkesan.
Usul ADUN Trong tersebut disokong oleh ADUN Belanja, Khairuddin Abu Hanifah (UMNO).
Pada Khamis, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin memberikan perkenan perkara itu selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Datuk Saarani Mohamad hari ini membentangkan Belanjawan 2021 negeri Perak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 selepas genap tujuh hari dilantik ke jawatan itu.
Saarani ketika membacakan Belanjawan itu berkata, beliau dan barisan Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat pada Isnin telah sebulat suara bersetuju mengguna pakai cadangan Belanjawan yang disediakan oleh kerajaan terdahulu.
“Hari ini genap tujuh hari perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar. Dalam tempoh yang singkat itu, amat terbatas waktu untuk saya menyediakan Belanjawan 2021 yang baharu.
“Berasaskan kepada keterlibatan saya secara langsung dalam proses penyediaan cadangan peruntukan kewangan bagi tahun 2021, maka adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar yang baharu untuk merangka semula ucapan Belanjawan ini,” katanya.
Ujarnya, kerajaan negeri telah mengunjurkan Belanjawan defisit sebanyak RM103.2 juta bagi tahun 2020 pada pembentangan Belanjawan yang lepas.
“Bagaimanapun, berdasarkan kepada situasi semasa berakhir 30 November 2020, kedudukan kewangan adalah defisit RM86.4 juta, iaitu turun 16.3 peratus atau RM16.8 juta berbanding unjuran asal.
“Sehingga 31 Disember 2020, defisit ini dijangka dapat diturunkan sekurang-kurangnya kepada RM40 juta,” katanya.
Katanya, “Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif” kekal menjadi tema Belanjawan tahun 2021.
Jelasnya, pemilihan meneruskan tema yang sama adalah bagi menunjukkan fokus kerajaan negeri dalam meneruskan kesinambungan perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan pada tahun ini.
Pada Khamis, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin memberikan perkenan perkara itu selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. Awani
You must be logged in to post a comment.