Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu mahu kemuka representasi

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu, Mohd Azhar Che Mat Dali, akan mempertimbangkan untuk mengemukakan representasi bagi menyemak semula lima tuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.35 juta.

Perkara itu dimaklumkan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohd Azhar, 49, ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayobdi sini hari ini.

Ariff Azami, ketika ditemui media berkata, pihaknya baru menerima beberapa dokumen membabitkan kes daripada pendakwaan.

“Berdasarkan dokumen ini, kami akan mempertimbangkan untuk mengemukakan representasi,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Natrah Fareha Rahmat memberitahu mahkamah pihaknya menyerahkan kira-kira 30 dokumen berkaitan kontrak projek berkenaan kerana ia perlu diperhalusi.

“Sehubungan itu, kami mohon keseluruhan dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Pada 15 Oktober lalu, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta rasuah RM5 juta daripada Elias Jemadi Tajudin, Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat itu menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 22 Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Mohd Azhar didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker