Jangan guna hak undi usul tak percaya sewenangnya

Meskipun ahli-ahli Parlimen berhak membawa usul undi tidak percaya namun bukan bermakna ia boleh digunakan sewenang- wenangnya untuk menjatuhkan kerajaan tanpa pertimbangan secara rasional.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, undi tidak percaya yang mengakibatkan kerajaan tumbang bukan tindakan yang tepat apatah lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Daripada sudut hak demokratik ahli-ahli Parlimen berhak menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya termasuklah secara tidak langsung iaitu dengan menolak belanjawan.

“Tapi berdasarkan realiti semasa khususnya wabak Covid-19 dan ketiadaan calon yang jelas yang mendapat sokongan majoriti maka, hak itu tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan.

“Situasi yang akan berlaku akibat kejatuhan kerajaan perlu difikirkan semasak-masaknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Muhammad Fathi, selepas kerajaan tumbang pasti ada parti yang bakal mengambil sikap berkecuali, enggan menyokong calon Perdana Menteri baharu dan seterusnya mendesak pembubaran Parlimen pula berlaku.

Katanya, rakyat sudah tentu tidak bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada waktu ini.

Justeru beliau menasihatkan supaya mana-mana pihak yang berhasrat mahu menjatuhkan kerajaan mengambil langkah yang lebih bertanggngjawab agar rakyat dan negara tidak diheret ke dalam kecelaruan politik.

“Bila Perdana Menteri sekarang dijatuhkan tidak mustahil ada parti yang mengambil sikap berkecuali dan enggan menyokong mana-mana tokoh yang dicalonkan.

“Jika tiada tokoh yang melepasi majoriti mudah, maka pilihan lain ialah pembubaran Parlimen, dan seterusnya dalam masa 60 hari Pilihan Raya Umum perlu diadakan. Adakah rakyat dan negara telah bersedia melalui PRU-15 dalam tempoh wabak yang belum reda ini?” soalnya.

Muhammad Fathi sekali lagi mengingatkan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar ahli politik menghentikan segala politiking dan tidak mengganggu-gugat kestabilan kerajaan. MG

Undi tak percaya PM: Perak boleh, kenapa kita tak boleh? soal Ahli Parlimen pembangkang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker