Guan Eng turun Ipoh pertahan Kor Ming

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengadakan taklimat khas di Ipoh pada Ahad selepas Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming menerima kecaman hebat berikutan isu kerjasama antara DAP dan UMNO di negeri itu.

Walaupun taklimat itu dijalankan secara tertutup, tetapi ahli parti memberitahu Sinchew Daily, Guan Eng telah mempertahankan Kor Ming termasuk menyatakan bahawa rundingan antara Kor Ming dengan UMNO telah mendapat lampu hijau daripadanya.

Guan Eng tidak mengulas tentang isu itu apabila ditemui media selepas taklimat, tetapi difahamkan pemimpin tertinggi DAP itu memberitahu bahawa beliau bersetuju dengan rundingan DAP Perak dengan UMNO, tetapi tidak berhujah tentang kemungkinan pembentukan kerjasama dengan UMNO.

Guan Eng juga berharap ahli yang tidak berpuas hati dengan Kor Ming supaya melakukan teguran secara dalaman dan bukannya secara terbuka.

Sumber berkata, sebagai pemimpin, Guan Eng perlu mempertahankan Kor Ming, lebih-lebih lagi sokongan Kor Ming diperlukan dalam pemilihan parti akan datang.

Dalam taklimat yang dijalankan, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mengutuk Kor Ming secara terbuka iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar) dan Leow Thye Yih (Pokok Assam) tidak berhujah.

Namun begitu, ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu yang tidak bersetuju dengan kerjasama DAP-UMNO telah menyuarakan pendapat.

Hampir 30 orang yang sudah ditentukan majlis telah bersuara dengan majoriti bersetuju kerjasama bersyarat dengan UMNO selepas mengambil kira keadaan semasa.

Daripada mereka yang bersuara, tiga atau empat orang adalah daripada kalangan penyokong Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang tidak senada dengan Kor Ming.

Penyokong Kulasegaran tidak menyetujui kerjasama dengan UMNO kerana parti itu masih diterajui pemimpin yang berdepan kontroversi. MG

Negara Taliban : Giliran Nga Kor Ming menghasut rakyat pula

Leave a Reply