Pegawai pangkat DCP antara 29 polis disiasat berkait kes Addy Kanna – Zamri
Seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner antara sekumpulan 29 pegawai dan anggota polis yang disiasat kerana disyaki terlibat dengan sindiket melibatkan Addy Kanna.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, selain itu seorang lagi pegawai kanan berpangkat inspektor juga dikesan memiliki wang RM1 juta dalam akaun juga berkemungkinan berkait dengan sindiket yang sama.
Beliau mengakui JIPS terlibat daripada segi siasatan tatatertib dan disiplin membabitkan pegawai dan anggota polis dengan dengan sindiket Addy Kanna yang mana Bukit Aman akan mengkaji segi perkhidmatan anggota polis dengan sindiket itu.
“Antaranya gaya hidup polis, pemilikan harta yang agak luar biasa, melancong ke luar negara tanpa kebenaran dan segala pergerakan dia..Jadi kami siasat mereka dalam banyak aspek secara mendalam.
“Kita dapati mereka memiliki harta yang agak berlebihan dan tidak setara dengan jawatan dia, jadi kita akan meminta penjelasan semasa soal siasat nanti dan dilibatkan dalam pemeriksaan mendalam.
“Jadi kita harap siasatan dapat diselesaikan dan kertas siasatan dilengkapkan pada Januari 2021,” katanya dalam sidang media serah terima tugas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed yang akan memangku Ketua Polis Selangor di Dewan Utama Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
Tambah Zamri, pada permulaannya empat orang individu dikenal pasti dalam kalangan anggota polis tetapi kemudian mendapati beberapa nama lagi timbul dan dikaitkan dengan penglibatan dengan sindiket scammer itu.
Menurutnya, JIPS turut membuat tindakan susulan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menyiasat pembabitan anggota dengan sindiket Addy Kanna termasuk aset mereka dan pergerakan mereka serta sebagainya.
Ditanya mengenai inspektor memiliki wang simpanan RM1 juta dalam akaunnya, kata beliau, apabila diminta penjelasan lanjut pegawai itu mendakwa wang itu diberikan bapanya.
“Dia (inspektor) dakwa wang sejuta itu diberikan oleh bapa dia yang dia simpan dalam akaun simpanannya jadi kita akan siasat mendalam dari mana dia dapat wang sebanyak itu,” kata Zamri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai yang disyaki terlibat dengan sindiket yang sama akan ditangkap tidak lama lagi.
Kes yang sedang disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kesemua 29 orang yang disiasat ini akan kita majukan kertas siasatan kepada pihak atasan untuk rujukan hukuman tegas yang berlunaskan undang-undang tatatertib polis yang sedia ada dan salah seorangnya berpangkat rangking Deputi Komisioner.
“Malah secara purata daripada segi salah laku membabitkan polis, lebih kurang 300 kertas siasatan iaitu 10 peratus daripada 3,000 aduan setahun seluruh negara untuk tindakan susulan jabatan JIPS membabitkan pelbagai kesalahan tatatertib.
“Kebanyakan kesalahannya membabitkan tak datang bertugas lebih lima bulan, ada hubungan intim luar perkahwinan yang tak dibenarkan polis sehingga menyebabkan isu yang banyak menjejaskan prestasi kerja,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, JIPS tidak bertanggungjawab mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka sekiranya ia melibatkan jenayah rompakan.
“Tahun ini katanya JIPS telah mengecilkan sasaran kes iitu daripada 1,000 kes aduan salah laku, kita sasarkan 200 hingga 300 kes untuk diselesaikan tahun ini.
“Ada yang telah sampai dibuang kerja dan juga ramai yang ditamatkan perkhidmatan akibat salah laku atau salah guna dadah yang mana dadah ini kita tak kompromi lagi, itu kesalahan serius ada ramai kes salah guna dadah yang ana kalau ditangkap akan didakwa di mahkamah selain memecat mereka dari perkhidmatan,” tegasnya lagi. MG