Kes rogol semakin meruncing
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
PENULIS cukup terkesan membaca laporan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun
yang mendakwa dirogol oleh 15 orang lelaki termasuk seorang kenalannya yang
baharu dikenali dua hari menerusi aplikasi WhatsApp.
Hakikatnya kejadian ini berlaku di negara kita dan bukannya di negara luar. Siapa sangka insiden tragis dan kejam seperti ini boleh berlaku di negara kita. Walaupun perit dan pahit untuk ditelan, kita perlu akui masalah sosial seperti kes rogol ini semakin meruncing dan membimbangkan.
Ironinya, kes rogol terutamanya membabitkan golongan muda di negara ini
dilaporkan semakin meningkat. Malah sejak mutakhir ini terlalu banyak kes rogol dilaporkan dalam media massa. Antaranya, kes rogol dan cabul membabitkan seorang peserta program realiti televisyen yang menggemparkan seluruh negara kerana melibatkan beberapa orang mangsa dari kalangan wanita muda.
Malah baru- baru ini juga dilaporkan pihak berkuasa telah menahan seorang pengetua sekolah menengah agama kerana dipercayai merogol pelajarnya sejak tiga tahun lalu.
Jelas sekali situasi sangat meruncing kerana keselamatan kanak-kanak perempuan dan golongan wanita semakin terancam serta membimbangkan.
Justeru, semua pihak perlu berganding bahu membantu pihak berkuasa untuk
mencegah dan menangani jenayah rogol ini daripada terus menghantui anggota
masyarakat kita. Dalam konteks ini sudah tentu kita mengharapkan ibu bapa akan
memainkan peranan yang lebih besar.
Ibu bapa yang mempunyai anak perempuan
perlu memastikan anak-anak mereka sentiasa dilindungi dan dijaga sebaik yang mungkin.
Misalnya, jangan biarkan anak-anak keluar rumah berseorangan terutamanya pada waktu malam dan jangan benarkan mereka keluar dengan lelaki tanpa sebarang ikatan yang sah apatah lagi lelaki yang baru dikenali di media sosial.
Hal ini penting kerana modus operandi hampir semua kes rogol seperti ini
menunjukkan mangsa keluar rumah berseorangan pada waktu malam atau keluar dengan lelaki yang hanya beberapa hari dikenali dalam media sosial. Jadi ibu bapa perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka supaya tidak menyesal kemudian hari.
Ringkasnya, kita perlu tegas dalam soal ini demi keselamatan dan masa depan
mereka sendiri.
Dalam pada itu, kita juga berharap agar kaum wanita kita tidak terlalu mudah
percaya dan terpedaya dengan lelaki hidung belang yang hanya menunggu masa
untuk mengambil kesempatan.
Ingat, jangan sesekali mudah tergoda dengan perwatakan yang tampan dan menarik serta pandai berkata-kata atau mengumpan dengan wang ringgit kerana kita tidak tahu latar belakang serta niat mereka.
Malah kita juga belum sempat mengenali dengan lebih dekat sikap dan tingkah laku mereka. Oleh itu, sebelum bersetuju untuk berjumpa atau keluar dengan mereka, pastikan kita sudah siasat sepenuhnya latar belakang mereka.
Hal ini dilihat terlalu signifikan kerana kita cukup risau melihat kepada trend semasa di mana golongan wanita yang baru beberapa hari mengenali seorang lelaki sanggup keluar berdua-duaan terutamanya sehingga ke lewat malam sekali gus membuka
seluas-luasnya peluang kepada lelaki tersebut untuk mengambil kesempatan.
Kaum wanita kena ingat, jika kita tidak menyediakan peluang iseperti itu,
kemungkinan besar kita dapat mencegah perkara-perkara yang tidak diingini
daripada berlaku. Dalam konteks ini, kita tidak bertujuan untuk menyalahkan kaum wanita semata-mata, cuma adalah lebih baik jika kita lebih berhati-hati demi keselamatan diri sendiri.
Pada masa yang sama, ibu bapa yang mempunyai anak lelaki juga disarankan agar sentiasa mengawal gerak geri anak-anak kita. Penyalahgunaan kemudahan internet dan media sosial dilihat mula merosakkan pemikiran, sikap dan tingkah laku anak-anak kita.
Misalnya, mereka terlalu mudah dapat akses bahan-bahan lucah dalam internet seterusnya mula mencari mangsa menggunakan platform media sosial. Jadi
ibu bapa perlu sentiasa mendidik dan memberi peringatan kepada mereka agar
jangan terjebak dengan aktiviti jenayah dan tidak bermoral seperti ini yang boleh menghancurkan masa depan mereka.
Semoga kita mengambil iktibar dengan bilangan kes rogol yang semakin bertambah di negara kita. Ibu bapa perlu menjaga dan melindungi anak-anak mereka, manakala golongan wanita juga perlu lebih berhati-hati dan serius dalam melindungi diri mereka. MG
You must be logged in to post a comment.