Tun Musa Hitam harap kerajaan bina tugu peringatan di tapak Highland Towers
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, mengalu-alukan jika ada sebarang cadangan pembinaan tugu peringatan di tapak tragedi kondominium Highland Towers.Musa dalam satu kenyataan ringkas pada petang Sabtu berkata, tragedi itu perlu dijadikan sebagai peringatan mengenai kesalahan manusia yang menyebabkan menyebabkan puluhan nyawa terkorban.
“Sebagai salah seorang individu yang terkesan dengan tragedi Highland Towers pada 11 Dis 1993, sebagai ibu bapa kepada anak lelaki kami dan isterinya (Carlos Rashid dan Rosina Abu Bakar).
“Saya mengalu-alukan cadangan pembinaan tugu peringatan di kawasan tragedi itu untuk mengingatkan kita kepada sejarah tragedi ini.
“Bagi saya, jika tugu ini dapat dibina, apa yang perlu diingatkan sebenarnya adalah ia mewakili tindakan salah manusia.
“Berselindung di sebalik pembangunan, pemodenan dan kemajuan, manusia menjadi sesat (dan sehigga sekarang masih sesat) dalam rasuah.
“Rasuah yang berdasarkan ketamakan dan kehendak material tanpa memikirkan langsung kesan negatif terhadap masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Tun Musa dalam satu kenyataan ringkas pada petang Sabtu berkata, tragedi itu perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada kegagalan dalam sejarah pembangunan negara ini sehingga menyebabkan puluhan nyawa terkorban.
Justeru, beliau berharap agar pihak berkuasa melaksanakan cadangan pembinaan berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut menitip doa kepada semua mangsa yang terkorban dalam tragedi itu .
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan, kementerian itu hanya merancang mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya sebagai tapak bersejarah.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin, menjelaskan KPKT tidak berhasrat membina tugu peringatan di tapak berkenaan seperti dilaporkan sesetengah media.
Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.