Gagasan Baharu: BN, PN dan GPS Sepakat Metrai
KUALA LUMPUR: Satu gagasan politik baharu akan dimeterai membabitkan tiga gabungan parti besar dalam kerajaan, iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi diperjuangkan parti politik bergabung di bawahnya.
Oleh itu, katanya, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar itu perlu dibentuk.
“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan itu mempunyai kestabilan politik kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan.
“Sebagai sebuah gagasan inklusif, semua pemimpin parti bergabung dalamnya harus diberikan ruang dan peluang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Kelmarin, BERSATU, PAS dan BN mencapai kata sepakat mengenai kemelut politik di Perak yang menyaksikan pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan susulan kegagalan mendapat sokongan undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), Perak.
Kesepakatan itu juga bersetuju pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam kerajaan negeri atas persetujuan bersama, selain ketiga-tiga parti bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Hamzah berkata, penubuhan gagasan baharu itu untuk memastikan kelangsungan permuafakatan dalam kerajaan PN.
Katanya, bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan persekutuan, bahkan berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah pembangkang.
Beliau menjelaskan dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan itu nanti mampu melahirkan satu manifesto benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.
“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,” katanya.