Kemelut Politik Perak: Ambil Iktibar, hubungan UMNO, PAS dan BERSATU perlu diperkukuhkan

 

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang berlaku dalam kerajaan negeri di Perak perlu dijadikan sebagai pengajaran untuk mendewasakan hubungan politik antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata isu politik di Perak membuktikan rundingan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.

“Ada banyak pengajaran daripada peristiwa di Perak. Kalau berunding, masalah selesai,” katanya ditemui BERNAMA selepas Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional (MN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Kemelut politik di Perak sejak minggu lalu menemui jalan penyelesaian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad, mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak akan menjadi Menteri Besar ke-14, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) pada 5 Disember lalu.

 

Kemelut Politik Perak: Pimpinan BERSATU, PAS Perak sokong keputusan pusat angkat Saarani

Ahmad Faizal, ADUN Chenderiang, meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul undi percaya terhadap Menteri Besar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu.

Ahmad Maslan pada masa sama mengakui pemilihan Saarani adalah bersesuaian dengan kedudukan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam pada itu mesyuarat sekretariat berkenaan memuji kepemimpinan ketiga-tiga parti iaitu BERSATU, UMNO dan PAS di Perak yang berjaya menyelesaikan kemelut politik negeri itu melalui rundingan.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata mesyuarat malam ini menyentuh mengenai penyelesaian masalah di Perak serta beberapa perkara rutin yang lain.

“Mesyuarat hari ini adalah mesyuarat berkala yang biasa. Selain itu mesyuarat turut membincangkan kerjasama MN bersama BERSATU,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan mesyuarat malam ini turut membincangkan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Mesyuarat ambil maklum mengenai persetujuan yang dicapai ketiga-tiga parti di Perak,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker