Dr. Adham jalani perintah pengawasan dan pemerhatian Covid-19
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak hadir ke Sidang Parlimen semalam, kerana menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah sehingga 18 Disember ini.
Perintah itu dikeluarkan oleh penilaian risiko Kementerian Kesihatan di Putrajaya yang mendapati beliau adalah kontak rapat kepada seorang petugas media swasta yang disahkan positif Covid-19 dan bergejala.
Katanya, petugas media itu hadir ke pejabatnya Sabtu lalu.
“Sehingga tamat perintah Pengawasan dan Pemerhatian ini, saya akan bekerja dari rumah termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan melalui sidang maya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam ahli Parlimen dari blok pembangkang mempersoalkan ketidakhadirannya bagi penggulungan perbahasan perbekalan (Belanjawan) 2021 Kementerian Kesihatan.
Pembangkang menyifatkan perbahasan itu penting memandangkan negara ketika ini sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang belum berakhir, tetapi menteri tidak hadir.
Menurut Adham, sesiapa pun tidak terkecuali dari mematuhi sebarang perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, apatah lagi melibatkan langkah pencegahan atau rawatan Covid-19.
“Semoga kita semua dapat memainkan peranan dalam menangani dan melawan Covid-19,” katanya.
Penggulung perbahasan bagi perbekalan Belanjawan Kementerian Kesihatan diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali. MG
Setiap Rakyat Kini Adalah Petugas Barisan Hadapan – Dr Adham Baba
You must be logged in to post a comment.