Setiap Rakyat Kini Adalah Petugas Barisan Hadapan – Dr Adham Baba

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setiap rakyat berperanan sebagai ‘petugas barisan hadapan’ bagi mengekang penularan COVID-19, sekali gus memutuskan rantaian pandemik itu di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sehubungan itu katanya, bagi memperkasa Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19 (DRPP) dalam komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan konsep Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP).

Menerusi amalan CAPP, masyarakat disaran mencegah COVID-19 dengan mendidik anggota keluarga termasuk komuniti masing-masing mengenai amalan normal baharu dalam kehidupan, katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Pergigian Alor Setar di sini, hari ini.

Dr Adham berkata bagi memastikan keberkesanan CAPP, KKM juga menjelajah ke beberapa buah negeri bagi memberi penerangan.

Dalam pada itu katanya, maklumat tepat mengenai pandemik itu boleh diperolehi dengan mudah melalui aplikasi MySejahtera yang mengandungi komponen antaranya data harian dan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang mempunyai jangkitan COVID-19

Beliau berkata menerusi aplikasi itu juga, pengguna boleh mengetahui tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID-19, selain mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan dan rawatan.

Sementara itu, katanya setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan rakyat terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan, dan menasihati orang ramai agar terus mengamalkan normal baharu seperti penjarakan sosial, kerap cuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup separuh muka. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker