Tuntut Hak Sabah, Kami Tak Takut Pada Mahathir
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Warisan menepis dakwaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing yang kerajaan Sabah terdahulu pimpinan parti itu takut menuntut hak minyak dan gas daripada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking sebaliknya berkata, Masing sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang gagal mengembalikan atau menyerahkan hak dua negeri itu, khasnya berkaitan minyak dan gas, seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang pemerintahan BN.
Katanya, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg juga tidak senang dengan jawatankuasa teknikal MA63 mengenai penurunan kuasa di bawah pentadbiran BN, yang dipengerusikan bersama Nancy Shukri dan Anifah Aman, dengan Abang Johari menyifatkannya “tidak berupaya”.
Nancy dan Anifah masing-masing ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri serta menteri luar ketika itu.
“Bagi saya, ini bukan soal takut, tetapi (bekas ketua menteri Sabah) Shafie Apdal tahu apa yang dilakukannya – itu sebabnya jawatankuasa khas Kabinet mengenai MA63 di bawah Pakatan Harapan-Warisan menyelesaikan 17 daripada 21 isu yang dibentangkan kepadanya.
“Setakat ini, untuk Masing kata Shafie (Warisan) takut adalah tidak adil dan salah. Shafie menangani perkara itu bersama Abang Johari ketika itu.”
Leiking, yang juga Ahli Parlimen Penampang, mendakwa kesedaran mengenai MA63 ketika ini kebanyakannya disedari ketika PH-Warisan menjadi kerajaan persekutuan.
“Ketika PH-Warisan berkuasa, ini (minyak dan gas) antara perkara pertama dalam agenda. Jadi, semua perkara baik yang berlaku disebabkan jawatankuasa MA63.”
Beliau berkata, jawatankuasa itu dapat menangani isu minyak dan gas, sebahagian daripada empat tuntutan MA63 belum diselesaikan, jika kerajaan PH-Warisan tidak tumbang.
Terdahulu, Masing hari ini mendakwa kerajaan Sabah pimpinan Warisan terdahulu tidak menuntut hak minyak dan gas daripada Putrajaya kerana mereka takut kepada Mahathir.
Kenyataannya menyusul Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan yang berkata, Sabah akan memeterai satu perjanjian komersial dengan Petronas, seperti yang dilakukan Sarawak.
Masing berkata, Sarawak sebenarnya sudah mendekati kerajaan Sabah di bawah pimpinan Warisan untuk bersama mereka menyaman Petronas berhubung 5% cukai jualan ke atas produk petroleum, tetapi ditolak seorang menterinya.
Leiking bagaimanapun berkata, tidak wajar untuk Masing menyifatkan kerajaan Warisan sebagai takut dan Shafie mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan 5% cukai jualan daripada Petronas.
Katanya, kini terpulang kepada kerajaan Sabah semasa untuk meneruskan usaha dan mendapatkan hak sama yang diperolehi Sarawak melalui mahkamah.
Kerajaan Warisan mula melaksanakan 5% cukai jualan ke atas sembilan syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sabah pada April lalu, tetapi Shafie pada Ogos lalu berkata, Petronas ialah satu-astunya syarikat yang belum membayar cukai itu.
“Semua orang berusaha menyelesaikan perkara itu, termasuk ketua menteri Sarawak,” kata Leiking.
Beliau meminta Masing menamakan menteri Warisan yang menolak mereka dan mendedahkan kandungan perbualan mereka kerana sesiapa pun boleh membuat dakwaan rawak itu.
Isu minyak n gas. Buka cerita pada umum? ( tujuan pancing backup dari rakyat..
Seandainya KAMU ORANG dapat duit itu (minyak n gas) di mana., dan apa yang KORANG akan
rancang kan pada duit itu he3 ..
(tanya diri sendiri by the mirror)
MATA RAKYAT IBARAT JURI DARI DULU HINGGA ESOK……
Ups sORry