MB Kedah: Jangan rujuk M’kini, wartawan bertaubatlah
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan portal berita untuk tidak “memutar belit” kiasan mabuk yang digunakannya terhadap pemimpin MIC dan DAP berhubung isu perobohan kuil di negeri itu.
Ia susulan laporan yang memetik Sanusi sebagai berkata kepada pihak yang membangkitkan isu itu agar “janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol” dan mencadangkan agar mereka tidak “mabuk todi populariti”.
Kenyataan Sanusi mencetuskan kemarahan beberapa ahli politik yang menyifatkannya memainkan stereotaip perkauman.
Dalam sidang media pada Isnin lalu, Sanusi menyasarkan portal berita seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider (kini sudah tiada, digantikan dengan The Malaysian Insight) dan menggesa orang ramai tidak merujuknya untuk mendapatkan berita.
“Kalau petik Malaysiakini, rakyat Malaysia akan bertelagah sampai kiamat. Jangan ambil (rujuk) Malaysiakini.
“Kalau ada wartawan Malaysiakini (di sidang media ini), bertaubatlah.
“Malaysiakini, Malaysian Insider…kerja spin, berita yang betul semua jadi bengkok,” katanya, sambil menambah perbuatan “memutar belit berita” untuk manfaat tertentu sebagai berdosa.
Pemimpin PAS itu berkata demikian ketika mengulas pertelagahan sesetengah warganet selepas Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo, mengeluarkan kenyataan menggesa Sanusi memohon maaf terhadap kaum India berhubung kiasan itu.
“Saya tak layan netizen, (mereka) tidak mewakili pandangan yang sewajarnya. Saya rasa dia pun tak baca apa yang saya tulis (dalam kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya lagi.
Dalam sidang media itu, Sanusi menjelaskan istilah “mabuk” digunakannya sebagai kiasan dan tidak berniat untuk menghina masyarakat India.
“Saya tak bermaksud nak hina semua orang India. Kalau ada orang kata Melayu rasuah, bukan semua makan rasuah…Sama dengan mabuk, bukan semua orang mabuk,” katanya yang menggesa mereka yang tidak memahami konteks kenyataannya agar belajar Bahasa Melayu.
“Kalau tak faham apa yang dinyatakan itu, saya fikir mereka perlu masuk semula kelas bahasa Melayu. Sebab bahasa Melayu ini penuh dengan kiasan dan bidalan.
“Sebagai contoh orang mabuk cinta, bukannya dia mabuk dan bercinta sebaliknya cuma ‘syok’ kepada cinta dan itulah juga yang dimaksudkan dengan mabuk populariti seperti saya nyatakan itu,” katanya lagi.
Pada 1 Dis lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan sebuah kuil Hindu di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang dikatakan berusia 50 tahun dan didirikan di tanah milik kerajaan negeri.. Tapak itu dilaporkan akan digunakan untuk membina gelanggang futsal.
Selain itu, tapak sebuah dewan silat dan lima kawasan pakir juga dirobohkan dalam operasi sama. Mk
Kenyataan penuh
Di bawah kenyataan penuh Sanusi (tanpa suntingan), seperti disiarkan di media sosialnya, berkaitan perkara itu, untuk penilaian pembaca:
ISU PEROBOHAN struktur atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah ialah isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.
Lambat laun, tataletak setiap binaan struktur di semua tempat patut berada pada tempatnya secara sah dan terkawal menurut garis undang-undang dan pentadbiran yang diletakkan di bawah agensi kerajaan. Ia harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun masih belum terlambat untuk melakukannya.
Sedikit kekecohan yang diapi-apikan oleh pihak berkepentingan pada waktu ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni. Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang.
Ada beberapa serangan politik kepada Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu kuil yang diputar belit dari sudut fakta sejarah, (ada dakwaan 30 tahun dan ada juga mendakwa 50 tahun), sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar mengenainya. Bangunan itu hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, daripada asalnya sebuah berhala yang diletakkan di perdu sebatang pokok.
Sebelum ini mereka jugalah yang mengelak untuk mengakui bahawa satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel keretapi di Alor Setar. Selepas diberi tapak baru, kuil pun didirikan, mereka kembali pula mendirikan kuil di tapak asal. Notis mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh MBAS.
Kes itu juga diputar belitkan untuk membina persepsi bahawa PAS adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain. Kononnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu sahaja. Untuk satu tapak kuil yang berada di atas tanah KTM yang terbabit dengan pembangunan untuk orang ramai, berapakah tapak baru patut diberikan sebagai ganti?
Tiada siapa di kalangan pemimpin politik kaum India dari MIC atau DAP berani mendedahkan fakta ini. Sebaliknya semua mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh. Jaguh kaum, jaguh agama atau jaguh putar belit?
Ada juga tokoh besar mereka mengaitkan kuil di tanah kawasan lapang yang dibina secara haram itu dengan kilang plastik tidak berlesen di zon industri Sg Petani. Kenapa tak robohkan kilang plastik di Sg Petani? Tanya Mr Vicky dalam kenyataannya.
Satu kes operasi kilang tanpa lesen satu kes lagi mengenai binaan yang tidak sah di atas tanah kawasan lapang taman perumahan.
Tujuh buah kilang plastik di Sungai Petani itu telah akur untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian Bukit Selambau dan akan diberikan lesen di tapak baru kelak. Prosesnya sedang berjalan dengan lancar di bawah kendalian YB Exco Pelaburan dan Industri dan pihak MPSPk. Sesuaikah kedua kes itu untuk dibuat perbandingan? Epal wajar dibandingkan dengan epal juga.
Saya telah katakan dengan jelas dan terang, para pemimpin politik di negara kita harus bertindak sebagai pendamai, penjaga keharmonian dan tataatur selari dengan undang-undang dan peraturan. Set undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa ini adalah untuk memelihara serta melindungi kehidupan rakyat seluruhnya, bukan untuk mendiskriminasi sesiapa.
Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit isu undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan berwewenang.
Perlembagaan parti-parti politik yang diluluskan tidak mengandungi kebenaran kepada kegiatan-kegiatan seumpama itu. Adapun kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia adalah suara untuk menjunjung kebenaran, keadilan, bukan bebas bersuara mengenai kepalsuan, putar belit, fitnah dan adu domba. Hal ini sangat mudah difahami, tetapi sengaja dikesampingkan hanya untuk menjadi jaguh.
Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil Hindu, tokong atau rumah ibadat. Ia berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan.
Di Taman Bersatu itu, bukan kuil itu sahaja dirobohkan, sebuah gelanggang silat juga telah dirobohkan di bawah Akta yang sama. Di lokasi lain di Alor Setar juga, ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.
Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara mengenai gelanggang silat di pinggir kuil itu? Senior politician seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol.
Nota:
Rule of law – the mechanism, process, institution, practice, or norm that supports the equality of all citizens before the law, secures a nonarbitrary form of government, and more generally prevents the arbitrary use of power.
Prof Ramasamy pakai rule of apa?
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman