Kemelut Politik Perak: Muhyiddin, Zahid, Hadi mesyuarat Hari Ini
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya Ahmad Zahid Hamidi daripada Umno dan Abdul Hadi Awang (PAS) akan mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur, hari ini bagi membincangkan situasi politik di Perak.
Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, dan satu sumber Umno mengesahkan mesyuarat itu sebentar tadi.
Mereka bagaimanapun tidak berkongsi maklumat terperinci berkaitan pertemuan bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri selepas menteri besar Bersatu Ahmad Faizal Azumu digulingkan.
Menurut Sumali, mesyuarat itu akan berlangsung di parlimen.
Sementara itu, Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata dia tidak mempunyai maklumat lengkap dan hanya dapat mengesahkan pertemuan enam mata itu itu.
“Ya, itu maklumat yang kita dapat bahawa ketiga-tiga presiden (PAS, Umno dan Bersatu) akan mengadakan pertemuan (mesyuarat) di Kuala Lumpur,” katanya.
Setakat pagi ini, Razman berkata pihaknya belum menerima secara rasmi titah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan masih menunggu arahan PAS Pusat.
Sementara itu, mengulas sokongan parti itu terhadap calon menteri besar baru, Razman berkata pihaknya masih tidak boleh membuat keputusan.
“PAS Perak tak boleh buat keputusan, kami tunggu keputusan PAS Pusat dan kita menunggu arahan saja setakat ini,” tambahnya.
Sementara itu, sumber terdekat dengan pemimpin kanan Umno berkata mesyuarat itu tertutup kepada pihak media.
“Mesyuarat itu tertutup,” katanya ringkas.
You must be logged in to post a comment.