ADUN PAS, PPBM serah SD kepada Sultan Perak sokong Saarani

ADUN PAS dan PPBM Perak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk menghantar akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan menteri besar yang baru.

Tiga wakil rakyat PAS memasuki Istana Kinta pada 4.23 petang dan keluar kira-kira 4.45 petang, yang disusuli ADUN PPBM selepas itu.

PAS mempunyai tiga ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Perak, iaitu Pesuruhjaya negeri, Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

PPBM pula mempunyai lima kerusi, iaitu Chenderiang yang diwakili bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu, Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah), Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong).

“Hari ini, alhamdulillah kita telah pun mendapat satu kata sepakat oleh pucuk pimpinan kita. Kami di peringkat negeri menzahirkan apa yang diputuskan presiden.

“SD kita dah tandatangan ikut keputusan (seperti diarahkan), tunggu nanti keluar berita sebenar.

“Tunggu istana mengesahkan bilangan, kita cuma membawa mandat diputuskan ketiga-tiga presiden kepada tuanku,” kata Razman kepada wartawan di luar Istana Kinta.

Setiausaha PPBM Perak, Zainol Fadzi Paharuddin selepas menghadap Sultan Nazrin berkata, beliau menghantar lima SD yang ditandatangani dirinya, Nolee dan Yunus, manakala dua lagi ialah ADUN bebas dari Tronoh, Paul Yong Choo Keong dan ADUN Buntong daripada Gerakan, A Sivasubramaniam.

“Kami membuat keputusan ini berdasarkan persefahaman di peringkat pusat oleh presiden parti PPBM, UMNO dan PAS. Jadi, itulah keputusan kami sembah maklumkan kepada tuanku sebentar tadi.”

Ditanya sama ada ADUN Titi Serong turut menyerahkan SD beliau, Zainol Fadzi berkata, Hasnul sudah menghadap Sultan Nazrin semalam.

Katanya, Faizal pula dijangka menghadap Sultan Perak selepas ini kerana beliau masih berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Pengerusi UMNO Perak, Saarani Mohamad dijangka menghadap Sultan Nazri sekali lagi petang ini bagi memaklumkan perkembangan terkini. FMT

Leave a Reply