100,000 hilang kerja akibat PKPB kali kedua
Kira-kira 100,000 pekerja kehilangan pekerjaan atau diberhenti kerja oleh majikan negara ini akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua, mulai 14 Oktober lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, data kementerian menunjukkan jumlah perberhentian pekerja itu mengikut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 27 November 2020 adalah berjumlah 99,696 orang.
Bagaimanapun katanya, dalam tempoh sama, seramai 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja pula telah berjaya mendapat pekerjaan.
“Negara telah melalui tujuh bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran pandemik Covid-19.
“Sejak 10 Jun 2020, PKP Pemulihan telah membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.
“Pada masa yang sama, pelbagai pakej rangsangan telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh.
“Oleh yang demikian, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana.
“Perkara ini dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (BN-Machang), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran PKPB kali kedua bermula 14 Oktober 2020 lalu dan sejauh mana pelaksanaan PKPB itu memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Saravanan memberitahu, berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerja-pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan yang amat terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, berdasarkan STB juga, kadar pengangguran tertinggi pada tahun 2020 telah dicatatkan pada Mei 2020 iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan bilangan penganggur seramai 826,100 orang.
“Pemulihan pasaran buruh Malaysia dapat diperhatikan dengan kadar pengangguran menurun daripada paras tertinggi 5.3 peratus kepada 4.9 peratus (773.2 ribu orang) pada Jun 2020.
“Kadar pengangguran terus menurun kepada 4.7 peratus (745.1 ribu orang) pada Julai 2020 dan kekal pada kadar 4.7 peratus (741.6 ribu orang) pada Ogos 2020.
“Data terkini STB pada September 2020 pula menunjukkan kadar pengangguran telah menurun kepada 4.6 peratus dengan bilangan penganggur seramai 737.5 ribu orang.
“Dijangka kadar pengangguran pada Disember 2020 akan menyaksikan penurunan kepada 4.5 peratus dan trend penurunan kadar pengangguran ini akan berterusan ke tahun 2021,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah (PSU) dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Perkeso berjaya menyelamatkan kira-kira 300,000 majikan daripada gulung tikar dan 2.72 juta pekerja dari dibuang kerja sehingga hari ini.
Tambahnya, dengan peruntukan berjumlah RM18 bilion, kerajaan berjaya menyelamatkan kira-kira 2.7 juta pekerja di negara ini daripada dipecat menerusi inisiatif PSU.
“KSM melalui Perkeso sudah menambah baik portal JobMalaysia kepada MyFutureJob bagi membantu pekerja yang dibuang kerja mendapat pekerjaan baharu dengan lebih mudah dan cepat.
“Kita juga menyediakan insentif berbeza kepada majikan yang mengambil pekerja dalam kalangan mereka berusia 40 tahun ke atas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Inilah antara insentif diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran akibat penularan pandemik Covid-19, sejak Mac lalu,” tambah beliau. MG