Himpunan 812: Permulaan manis muafakat UMNO, Pas – Asyraf
KERJASAMA dan penyatuan parti UMNO dan Pas bermula dengan Himpunan 812 yang meraikan ulangtahun keduanya hari ini.
Himpunan 812 tersebut merupakan perhimpunan aman sebagai tanda kesyukuran selepas kerajaan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018.
Selepas dua tahun detik bersejarah itu berlalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengimbau kembali detik-detik bersejarah tersebut yang menjadi langkah awal kerjasama kedua-dua parti yang bermusuhan selama ini.
“Moga-moga himpunan yang penuh bersejarah ini sentiasa terpahat dalam pemikiran bagaimana manisnya permulaan permuafakatan jitu antara dua parti terbesar umat Islam di Malaysia UMNO dan Pas sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional setahun kemudian,” kata Asyraf Wajdi.
Perhimpunan yang disertai peserta yang memakai pakaian berwarna putih itu pada awalnya sebagai satu bentuk bantahan kepada kerajaan apabila isu ICERD mula dibangkitkan.
Perhimpunan itu merupakan perhimpunan terbesar umat Islam selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang menyaksikan kekalahan buat pertama kali Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO sebagai kerajaan persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Berdasarkan kenyataan daripada pihak polis, peserta yang menghadiri perhimpunan berkenaan seramai 55,000 orang bagaimanapun ada yang menganggarkan bilangannya melebih 100,000 orang.
Berikut catatan Asyraf Wajdi:
Hari ini 8 Disember dua tahun lalu, berhimpunnya 1 juta ummah di Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek bagi menzahirkan solidariti rakyat menolak ICERD.
Menghimbau sedikit sejarah, ia bermula apabila Menteri Luar pada waktu itu Datuk Saifuddin Abdullah (kini Menteri Komunikasi) menyatakan dengan tegas pada bulan Ogos 2018 komitmen kerajaan PH untuk mengotakan janji manifesto mereka bagi meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa termasuk ICERD yang merupakan instrumen hak asasi manusian di bawah PBB.
Kemudian pada 28 September 2018, PM ke-7 Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan di Persidangan Agung PBB ke-73 sekali lagi menyatakan komitmen Malaysia untuk meratifikasi ICERD menjelang tahun 2019 sebagaimana janji manifesto PH.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berganding bahu buat kali pertama dengan Dewan Pemuda Pas Pusat yang diketuai sahabat saya YB Ustaz Muhammad Khalil Haji Hadi menggerakkan himpunan pertama membantah ICERD di Sogo Kuala Lumpur pada 4 November 2018 dengan menghimpunkan lebih 5,000 orang dan berjanji untuk gerak ke seluruh negara secara bersama untuk menganjurkan demonstrasi cetus kesedaran rakyat mengenai bahaya ICERD.
Sepanjang November Pemuda UMNO dan Pemuda Pas dengan kerjasama NGO menjelajah ke setiap negeri mengadakan siri-siri demonstrasi dan himpunan menyedarkan rakyat bagi membantah ICERD.
Kemuncaknya pada 8 Disember 2018, UMNO, Pas dan pelbagai NGO Massa khususnya UMMAH menganjurkan Himpunan Rakyat Menolak ICERD yang menghimpunkan hampir 1 juta umat di sepanjang Masjid Jamek, Jalan Tar hingga ke Dataran Merdeka KL.
Moga-moga himpunan yang penuh bersejarah ini sentiasa terpahat dalam pemikiran bagaimana manisnya permulaan permuafakatan jitu antara dua parti terbesar umat Islam di Malaysia UMNO dan Pas sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional setahun kemudian.-SM
14 Sept Tak Mungkin Dilupakan…Titik Sejarah Penyatuan Ummah, Lahirnya MN – Suraya