14 Sept Tak Mungkin Dilupakan…Titik Sejarah Penyatuan Ummah, Lahirnya MN – Suraya

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata tarikh 14 Sept tidak mungkin dapat dilupakan kerana pada tanggal tersebut tahun lalu menjadi titik tolak bersejarah bagi dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara membentuk penyatuan ummah bernama Muafakat Nasional (MN).

Ujarnya, tidak mungkin juga akan dilupakan bilamana dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan Piagam MN.

“Terlalu mustahil juga untuk Kak Su lupa, lahirnya MN itu diringi keharuan air mata, ikhlas setulus hati meraikan titik-titik persamaan di antara dua pihak dan menginsafi kekhilafan yang pernah dilalui puluhan tahun lamanya.

“Lahirnya MN penuh liku dan cabaran. Perjalanannya tidak mudah yang disangka, sudah tentu UMNO dan PAS terpaksa menempuh penuh onak dan ranjau,” katanya yang lebih gemar menggelarkan dirinya dengan panggilan Kak Su dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, pada awal tertubuhnya jalinan MN, sudah terdengar suara-suara sumbang yang memperlekeh, mempertikai kemampuan UMNO dan PAS untuk mempertahankan kerjasama politik itu.

“Namun, penyatuan berteraskan Islam ini tidak goyah. Sebaliknya kritikan-kritikan negatif itu menyuntik semangat, bagai menjadi azimat bagi UMNO dan PAS untuk terus menyatu dan melangkah jauh bermuafakat bersama.

“Ada pula yang cemburu. Melihat MN yang menerima sambutan hangat majoriti umat Melayu Islam, mereka gundah tidak senang duduk. Di mulut membenci, namun dalam diam menaruh hati untuk menyertai MN.

“Ada pula yang cuba merosakkan penyatuan MN dari dalam dan luar parti. Selain menabur syak wasangka buruk terhadap kepimpinan kedua parti, ada pihak tertentu yang cuba mencetus pelbagai sentimen negatif tertentu di kalangan akar umbi,” katanya.

Begitu juga bidasnya, ada yang cuba menjadi ‘batu api’, cuba memecah-belahkan melalui perbedaan dan mengungkit kisah lampau.

“Lagaknya bagai Musyrikin Makkah yang dulu cuba memisahkan Muhajirin dan Ansar di Madinah Al-Munawwarah!

“Pada Kak Su, penyatuan UMNO dan PAS sebenarnya berteraskan Islam dan melangkaui batas politik. Penyatuan ummah ini berasaskan ukhuwwah dan persaudaraan kerana Allah. Kita MN tidak bertuhankan politik, tapi sujud pada perintahNya,” tambah Exco Kerajaan Negeri Kedah itu lagi.

Justeru itu tegasnya, usahlah bersusah-payah membuang masa memikirkan cara memisahkan UMNO dan PAS, kerana usaha sia-sia itu bukan saja membuatkan kedua-dua parti lebih erat, malah memberikan kekuatan luar biasa untuk terus berjuang demi agama, nusa dan bangsa.

“Alhamdulillah, hari ini MN berdiri teguh, melangkah ke hadapan penuh yakin menuju PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15). Sebanyak tujuh PRK (Pilihan Raya Kecil) telah memberi kemenangan manis buat kita dan kini kita berjuang pula di PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah.

“Insya-Allah, kita doakan agar MN terus mendominasi PRU15 nanti,” harapnya.

#

Bersempena ulang tahun pertama MN yang jatuh pada hari ini, Suraya menyeru kepada seluruh umat Melayu Islam agar tidak lagi berbelah bagi, terus memberi sokongan padu kepada MN sebagai wadah perjuangan bersama.

“Insya-Allah, UMNO dan PAS akan tetap setia bermuafakat bersama dalam mencari keredhaan Allah. Kami akan terus beristiqamah dalam perjuangan MN, memperkukuhkan barisan bagi membina sebuah negara bangsa yang lebih baik berbanding semalam.

“Doakan kejayaan kita, dan selamat menyambut ulang tahun pertama Muafakat Nasional,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker