Kemelut Politik Perak: UMNO dijangka adakan mesyuarat tergempar malam ini
KUALA LUMPUR: UMNO dijangka mengadakan mesyuarat tergempar pada malam ini dipercayai bagi membincangkan mengenai kemelut politik di Perak.
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik sumber dalam UMNO, mesyuarat Biro Politik itu juga difahamkan akan membincangkan mengenai isu berkaitan dengan kedudukan kerajaan Persekutuan secara keseluruhannya.
Ia akan diadakan di Menara Dato Onn, Dagangan Dunia Putra (WTC), di ibu negara pada jam 8.30 malam Isnin.
Terdahulu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran baharu di Perak seiring krisis politik yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Menteri Besar yang lalu dapat dikekalkan.
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Kemelut politik negeri ini bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul keyakinan terhadap menteri besar yang dikemukakan pada sidang DUN, Jumaat lepas.
Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan ADUN Chenderiang, hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.