31 individu terima darjah, bintang kebesaran Selangor

Sebaran :

SHAH ALAM: Seramai 31 individu terpilih untuk menerima darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-75, pada 11 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 1,096 pencalonan diterima bagi darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran itu bagaimanapun, hanya 31 individu atau kira-kira tiga peratus terpilih.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 3,000 permohonan diterima bermula 16 Jun hingga 17 Ogos lalu termasuk 1,904 permohonan bagi pencalonan pingat-pingat Negeri Selangor.

“Daripada 31 penerima, dua akan menerima Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri bagi penerima lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.

“Dua individu akan menerima Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran datuk setia bagi penerima lelaki dan datin paduka bagi wanita.

“Seramai 27 lagi individu menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang akan membawa gelaran datuk (lelaki) dan datin paduka (wanita),” katanya.

Beliau berkata, seramai 147 individu akan menerima darjah dan bintang kebesaran yang tidak membawa gelaran iaitu 30 orang Setia Mahkota Selangor (S.M.S); Setia- Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) (29); Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) (38); Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) (40) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) (10).

Katanya, semua penerima sudah melepasi tapisan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohd Amin berkata, pada tahun ini, Sultan Selangor berkenaan memenuhi kuota darjah dan bintang kebesaran negeri yang ditetapkan untuk dikurniakan kepada petugas barisan hadapan sebagai menghargai jasa, pengorbanan, dedikasi dan kecemerlangan dalam menggalas tugas serta tanggungjawab ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

“Selain itu, pingat kebesaran negeri seperti Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T); Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C); Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) akan dikurniakan kepada petugas barisan hadapan (tentera, polis, bomba, kakitangan hospital) yang bertugas di Selangor,” katanya.


Sebaran :

Leave a Reply