Sidang DUN Perak tak diteruskan tanpa MB baru, minimum 4 exco – Speaker

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan bersambung Rabu ini tidak akan dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dilantik, kata Yang Dipertua DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Mohamad Zahir berkata jika tiada menteri besar dilantik sebelum tarikh berkenaan, usul penangguhan persidangan DUN perlu dibuat pada hari tersebut.

“Katakan kerajaan tidak terbentuk bila sambung persidangan pada 2.30 petang Rabu ini, saya akan minta seorang ahli DUN (Adun) bangun untuk mengemukakan usul supaya persidangan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lepas dengan pembentangan Belanjawan 2021 negeri sebelum bersambung semula pada Selasa hingga Jumaat depan.

Bagaimanapun, susulan kemelut politik yang tercetus pada Jumaat lepas, Mohamad Zahir menangguhkan persidangan hingga Rabu ini.

Pada Jumaat lepas, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun, speaker membenarkan pembentangan usul ‘keyakinan Adun terhadap menteri besar’ yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti Adun.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang dilaporkan berkata beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin hari ini dipetik bertitah memperkenankan peletakan jawatan Ahmad Faizal dan barisan Exco negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Zahir menjelaskan menteri besar baru perlu memberi notis kepada DUN untuk menyambung persidangan dalam tempoh 14 hari selepas pelantikannya dan persidangan pula hanya boleh bermula selepas dua minggu notis diterima oleh DUN. Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker