MB Kedah perlu mohon maaf atas kenyataan berunsur perkauman – Exco Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris menyelar sikap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang memberikan perumpamaan ‘minum todi’ ekoran bantahan yang dibuat oleh MIC dan DAP terhadap isu perobohan kuil Hindu pada 1 Dis lalu.
Wan Muhammad Azri yang lebih dikenali sebagai Papa Gomo berkata, kenyataan yang dibuat Muhammad Sanusi itu sesuatu yang biadap dan tidak beretika sama sekali.
Katanya, kenyataan menteri besar Kedah itu telah melemparkan satu persepsi tidak baik terhadap satu-satu kaum.
“YAB Menteri Besar Kedah patut malu dengan kenyataan yang dibuat kerana ini bukan sahaja mengambarkan sikap angkuh kerajaan negeri malah mengambarkan seorang pemimpin Melayu Islam yang begitu celupar mulut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Wan Muhammad Azri turut berharap, Muhammad Sanusi dapat membuat permohonan maaf kepada seluruh masyarakat India berikutan kenyataan berkenaan.
“Akhir kata, saya harap kita rakyat Malaysia berbilang bangsa dapat bertoleransi antara satu sama lain dalam apa isu sekali pun,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Wan Muhammad Azri turut menyenaraikan kebaikan dari tindakan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu dalam isu perobohan kuil.
Katanya, beliau menyokong tindakan meroboh kuil yang dibina di atas tanah yang dimiliki kerajaan negeri dan menganggap isu ini berlaku di semua negeri.
Namun katanya, ada pihak yang mengambil kesempatan di atas keterbukaan kerajaan sebelum ini dengan sengaja membina rumah ibadat biarpun tahu tanah yang digunakan itu tidak diwartakan untuk pembinaan rumah ibadat mana-mana agama.
“Memang sewajarnya tindakan tegas diambil kepada semua rumah ibadat haram agar di masa depan tidak menimbulkan konflik yang akhirnya menjerumus kepada perbalahan perkauman dan agama seperti mana yang berlaku di negeri Selangor tahun 2018 di Kuil Sri Maha Mariamman,” katanya.
Pada 1 Disember lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar yang dipercayai berusia lebih 50 tahun di Taman Bersatu, Kuala Kedah.
Alasan yang diberikan ialah tanah yang dimiliki kerajaan negeri itu mahu dibangunkan.
Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker