Isteri Muhammad Syafiq Kucup Bayi Buat Kali Terakhir Di HSJ
SEBERANG JAYA, 6 Dis — Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini apabila isteri pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad, iaitu Nur Amalina Nur Ain diberi peluang mengucup anaknya buat kali terakhir.
Jenazah Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari yang terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 163 Lebuhraya Utara- Selatan di Sungai Bakap awal pagi ini, dibawa dari Hospital Sungai Bakap ke tempat rawatan ibunya di HSJ.
Sejurus jenazah tiba, Nur Amalina, 25, yang cedera dan dirawat di Wad 8 hospital itu dibawa turun dari wadnya dengan ditolak menggunakan katil ke bahagian Unit Forensik.
Wanita itu turut diberi peluang menatap wajah ibunya Zainab Wahab, 45, yang turut terkorban dalam kemalangan tersebut.
Kemalangan itu turut mengorbankan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti berusia 30-an.
Muhammad Syafiq yang turut hadir ke HSJ dilihat tidak dapat mengawal perasaan dan berterusan menangis sambil ditenangkan ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Pendang, Kedah untuk urusan pengebumian.
Terdahulu di NIBONG TEBAL, Muhammad Syafiq yang berada di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB), dilihat menangis setiap kali didekati rakan dan saudara-mara malah dia enggan bercakap dengan sesiapa yang menghubunginya menerusi telefon kerana terlalu sedih.
Muhammad Syafiq berada di situ menunggu urusan bedah siasat anak bongsunya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab.
Suasana hiba dan sedih itu turut dikongsi adiknya, Muhammad Zulfadhli, 24, yang setia menemani abangnya itu dan beliau turut memaklumkan abangnya masih terkejut serta sukar menerima kejadian yang berlaku.
“Dia akan menangis setiap kali ada saudara mara atau kawan datang bertanyakan keadaannya selain enggan bercakap dan hanya menyebut nama anaknya sahaja…Aisy, Aisy,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Unit Forensik HSB, di sini hari ini.
Sementara itu, Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq ketika hadir menziarahi pemain bola sepak kebangsaan tersebut di HSB.
“Beliau boleh mengambil berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali pulih sama ada mental dan fizikal malah kami akan sentiasa memberi semangat dan sokongan. Kami semua mendoakan yang terbaik buatnya,” kata Tan.
Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sebarang latihan yang dijadualkan buat Muhammad Syafiq ekoran pembatalan Piala Malaysia disebabkan pendemik COVID-19 sekarang ini.
— BERNAMA