Krisis politik Perak ujian PPBM balas jasa Umno
Krisis politik di Perak adalah peluang terbaik untuk PPBM membuktikan jika parti “bongsu” dalam Perikatan Nasional (PN) itu mampu beralah seperti dilakukan Umno dalam isu pemilihan ketua kerajaan.
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, jika sebelum ini wakil rakyat Umno lebih ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan Ahli Parlimen parti itu lebih ramai di Dewan Rakyat boleh mengangkat pemimpin PPBM sebagai ketua mereka, ini adalah masa yang tepat untuk PPBM kembali membalas budi.
“Saya lihat dari sudut positif, ini adalah peluang mereka untuk angkat menteri besar daripada Umno, adakah PPBM boleh buat seperti apa yang Umno boleh buat untuk PPBM,” katanya dalam Dialog Umno Bersatu anjuran Astro Awani malam ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai situasi terkini politik di Perak, Shahril berkata, lebih baik semua pihak menunggu pendirian rasmi ketua parti dalam kerajaan.
Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden PPBM hilang sokongan majoriti sebagai menteri besar selepas usul percaya dikemukakan terhadapnya oleh ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim diundi di DUN pagi tadi.
Dalam undian dipengerusikan Speaker DUN Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Ahmad Faizal, berbanding 48 yang membantah dan satu undi rosak.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan segelintir pihak yang menganggap Umno masih menganggap mereka sebagai “abang besar” dalam kerajaan, Shahril berkata, Umno mempunyai barisan pemimpin yang unik, baik suara progresif mahupun konservatif.
“Mereka tidak boleh lepaskan perasaan bahawa kekuatan asas Umno adalah kekuatan terbesar dalam Malaysia dan kekuatan yang ada pada Umno ini adalah aset yang tidak boleh dinafikan.
“Kita hanya mahu Umno dihormati ini bukan bermaksud kita akan buli mereka (rakan parti) tetapi ada beberapa perkara yang kita akan mohon yang mencerminkan kedudukan kita sebagai ‘abang besar’, yang mana Umno tidak boleh duduk di kedudukan kedua terlalu lama,” katanya.
Dalam sesi dialog berlangsung hampir satu jam itu, Shahril turut menuntut PPBM mencari identiti sendiri, berbeza dengan identiti Melayu yang ditonjolkan Umno selama ini.
“Jika pergi pasaran yang sama, saya khuatir dari segi asas, akan sentiasa ada masalah. Mungkin menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 kita sempat nak urus tetapi jangka sederhana dan panjang jika PPBM dan Umno masih dalam pasaran sama, akan ada masalah,” katanya.
https://mykmu.net/2017/05/21/ppbm-perak-desak-muhyiddin-letak-jawatan/
You must be logged in to post a comment.