PPBM beri bayangan Kerajaan PN Johor juga boleh tumbang

Kalau PN boleh tumbang di Perak, negeri lain pun boleh, seperti Johor, kata naib presiden

Naib Presiden PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen, bimbang kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional di Perak pimpinan partinya boleh berlaku di negeri lain, contohnya Johor sekiranya PPBM menarik balik sokongan kepada menteri besarnya daripada Umno.

Ketika ini, Dewan Negeri Johor mempunyai 16 kerusi BN, 13 PN, dan 27 Pakatan Harapan.

“Kalau ini boleh berlaku di Perak, saya yakin perkara sama boleh berlaku di negeri lain. Contohnya, di Johor, kalau PPBM menarik balik sokongan kepada menteri besar, saya fikir senario sama boleh berlaku kerana kerajaan negeri itu juga ada majoriti kecil,” katanya.



Pentadbiran Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden PPBM, tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pagi tadi.

Sebanyak 48 ADUN tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan 1 undi rosak.

Pada Oktober, FMT melaporkan kerajaan Perak berdepan risiko susulan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin Umno terhadap rakan mereka, PPBM.

Rafiq kesal akan perkembangan di Perak ini, mengatakan semua ahli politik tidak patut berbuat demikian semasa pandemik.



Beliau memberi amaran rakyat akan menghukum pihak yang mengutamakan kepentingan politik daripada nyawa dan keselamatan negara pada pilihan raya umum akan datang.

“Perdana menteri sudah kata pilihan raya akan diadakan selepas keadaan pulih. Jadi sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan atau menjatuhkan kerajaan hanya akan memberi kesan pada usaha dan tumpuan kerajaan dalam membantu rakyat.” FMT

Peja Tumbang di Dewan Undangan Negeri, Perak Bakal Dapat Menteri Besar Baharu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker