Integriti pendakwah ekspres membimbangkan

INSIDEN salah laku seorang pendakwah selebriti muda mula mencetuskan pelbagai persoalan apabila sehingga kini tujuh laporan polis diterima terhadap suspek di sekitar Lembah Klang. Dan pihak polis tidak menolak kemungkinan akan ada lagi mangsa yang akan tampil selepas ini untuk membuat laporan.

Jujurnya ini adalah satu situasi yang cukup menyedihkan kerana imej agama Islam turut tercemar kerana insiden seperti ini.

Dalam hal ini timbul persoalan sejauh mana pegangan dan amalan integriti golongan pendakwah muda seperti ini yang muncul umpama cendawan selepas hujan menggunakan jalan pintas secara ekspres.

Ironinya, ini bukan kes pertama yang berlaku di negara kita. Sebelum ini sudah ada beberapa kes kontroversi dan juga jenayah seumpama ini yang berlaku membabitkan golongan pendakwah ekspres seperti ini yang dikenali sebagai imam muda, pencetus umah (PU) ataupun da’i.



Mereka ini lahir hasil beberapa program realiti TV yang berpaksikan keagamaan.

Golongan ini meraih populariti dengan mudah dan pantas melalui program realiti TV dan akhirnya terpalit dengan pelbagai kontroversi apabila gagal mengawal diri dan tidak bijak mengurus populariti yang diperoleh.

Kita akui ramai juga dari kalangan pendakwah muda yang lahir secara ekspres ini mempunyai nilai integriti yang tinggi, berbakat besar dan berkelayakan menjadi seorang pendakwah, namun segelintir yang terpalit seperti ini mencemarkan nama baik semua yang lain.

Tindakan segelintir daripada mereka yang menggunakan agama atau menjadi penunggang agama amat dikesali. Dan apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan seumpama ini menyebabkan imej agama Islam turut tercemar terutamanya pada pandangan orang bukan Islam.



Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi seorang pendakwah. Gelaran pendakwah itu tidak boleh diperoleh dalam sekelip mata apatah lagi melalui program realiti TV.

Tuntasnya, tiada istilah pendakwah ekspres. Jadi golongan ini perlu sedar perjalanan mereka masih jauh dan banyak lagi yang perlu dipelajari sebelum benar-benar dinobatkan sebagai seorang pendakwah. Justeru, jangalah mudah hanyut dengan populariti yang dirai dalam sekelip mata.

Jadi kita berharap para penganjur program realiti TV seperti ini akan menilai semula rancangan seperti ini. Beri perhatian yang serius dalam soal pemilihan peserta.



Memiliki rupa paras yang menarik serta pandai bercakap tentang agama atau boleh menjawab soalan yang berkaitan tidak boleh dijadikan ukuran dan kriteria utama pemilihan peserta. Untuk menjadi pendakwah mesti ada pakej yang lengkap terutamanya dari segi integriti diri.

Hal ini penting kerana integriti membabitkan soal sikap dan tingkah laku dan aspek ini wajar diberi perhatian yang lebih kerana yang tampan, pandai bercakap dan ada ilmu agama belum tentu memiliki sikap dan tingkah laku yang baik dan terpuji.

Ini kerana sikap dan tingkah laku lahir dengan mereka dan akan memberi gambaran sebenar tentang diri dan latar belakang seseorang individu.

Ringkasnya, kita tidak mahu rancangan realiti TV melambakkan pendakwah ekspres yang tiada integriti dalam masyarakat. Hal ini penting kerana angota masyarakat terutamanya golongan belia terlalu mudah mempercayai pendakwah ekspres seperti ini yang popular dalam sekelip mata dan menjadikan kelompok ini sebagai idola mereka.



Jadi, jika kita tidak mengawal lambakkan seperti ini, dikhuatiri akan lahir lebih ramai lagi penunggang agama yang cuba mengambil pelbagai kesempatan terhadap anggota masyarakat atas gelaran “pendakwah”.

Pada masa yang sama, besarlah juga harapan kita kepada para pendakwah ekspres seperti ini agar pandai-pandailah membawa diri dan tolonglah jaga nama baik dan imej agama Islam. Ingat, setiap tindakan dan perbuatan kalian sangat mudah untuk menarik perhatian khalayak.

Ambil iktibar dengan insiden seperti ini dan jangan ulangi kesilapan yang sama.

Anggota masyarakat terutamanya golongan wanita juga perlu lebih berhati-hati. Janganlah terlalu cepat dan mudah percaya dan terpedaya dengan imej serta gelaran pendakwah muda seperti ini. Walaupun bukan semuanya ada masalah namun adalah lebih wajar jika kita berhati-hati sebelum nasi menjadi bubur. Sama-samalah kita ambil iktibar.MG



Guru pula tampil dakwa dirogol pendakwah selebriti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker