Anggota polis maut kemalangan dilanggar MPV

KEADAAN kemalangan di Kilometer 2, Jalan Melang-Kuala Pilah, berhampiran persimpangan lampu isyarat HTAN, dekat sini, malam semalam yang menyebabkan seorang anggota polis, Lans Koperal Muhammad Hamidi Fikri Mohd Safry mengalami kecederaan parah namun kemudiannya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan HTAN.

KUALA PILAH: Anggota polis maut ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Melang-Kuala Pilah, berhampiran persimpangan lampu isyarat HTAN, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Lans Koperal Muhammad Hamidi Fikri Mohd Safry, 23, dari Balai Polis Melang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah sedang menjalankan tugas Task Force Op Covid 19 ketika kejadian itu berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, Allahyarham terbabit dalam kemalangan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan motosikal jenis Yamaha 125z yang ditunggangi mangsa.

“Siasatan awal mendapati pemandu MPV dari Terachi menghala ke HTAN. Apabila sampai di tempat kejadian, semasa berada di lampu isyarat HTAN, pemandu telah memberikan laluan kepada sebuah ambulans di belakangnya dengan terus membelok ke kanan menghala ke persimpangan masuk HTAN.



“Mangsa yang sedang bergerak terus di laluan bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV berkenaan. Akibat daripada perlanggaran berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman di bahagian perut serta dada dan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan HTAN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu MPV berusia penghujung 40an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Amran menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anggota yang bertanggungjawab dan komited dengan penugasan yang dilakukan.

“Malah, arwah mempunyai mutu disiplin yang baik dan berintegriti. Arwah yang masih bujang juga aktif dalam sukan sepak takraw.



“Arwah memulakan perkhidmatannya di Pulapol Air Hitam pada tahun 2016 dan bermula 2017, arwah berkhidmat di Balai Polis Melang,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker